Jangan gentar tandingi pemain import – Azman Adnan

Azma19/12/2020 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis — Penyerang prolifik skuad kebangsaan era 90-an Azman Adnan mencabar pemain tempatan membuktikan bakat serta tahap kualiti yang dimiliki mereka supaya sentiasa melebihi pemain dari luar negara.

Menurut legenda pasukan Selangor yang pernah bergandingan bersama bekas pemain kebangsaan England serta West Ham Tony Cottee, selain bekas penyerang Arsenal Christopher Kiwomya dalam skuad The Red Giants, bersaing dan menandingi pemain import bukan perkara yang mustahil dilakukan.



Azman, 49, berkata pemain tempatan beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) seharusnya memiliki keinginan mengatasi setiap pemain import, selain sentiasa berusaha menandingi mereka dalam merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

“Saya pernah bermain dengan Tony, saya juga pernah bermain dengan Christopher, kedua-dua pemain itu ada ‘nama’ dan saya boleh berlawan dengan mereka. Kalau boleh, kita kena tunjuk dan buktikan kita lagi bagus daripada mereka.

“Sebagai pemain, jangan takut bersaing dengan pemain import. Kita perlu berusaha habis-habisan untuk menjadi tunjang sehingga bila pemain import tiada pun, (prestasi) pasukan tetap sama,” katanya pada sidang media majlis pelancaran jenama produk pakaian Azman Adnan di sini hari ini.

Pada masa sama, Azman berpendapat pendekatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggunakan khidmat pemain naturalisasi adalah tepat dalam usaha menguatkan pasukan kebangsaan.



Bagaimanapun, katanya pemilihan untuk menaturalisasikan seseorang pemain luar negara perlu diteliti sebaik mungkin dan perlu dilihat dari setiap sudut.

“Kita sebenarnya boleh (menaturalisasikan pemain) bukan tidak boleh tetapi kita kena pilih betul-betul pemain itu, di mana jika kita ambil, dia dapat membantu pasukan negara. Jadi kita kena pilih pemain itu betul-betul.

“Bagi saya, macam Sumareh (Mohamadou Sumareh) satu pengambilan berbaloi untuk pasukan Malaysia,” jelas Adnan, yang turut pernah menyarung jersi Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berasingan, Azman berkata keputusan menceburi bidang perniagaan yang menyaksikan beliau berkolaborasi dengan beberapa jenama lain adalah kerana keinginan mencuba sesuatu perkara baharu.



“Jenama ini saya akan cuba buat yang terbaik, memang di Malaysia ada beberapa jenama kukuh sejak dari dulu. Untuk jenama baharu ini, kami ada strategi untuk kembangkan dan ia perlu dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Beri Yusri peluang – Azman Adnan



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button