SEDAR RAMAI PERTIKAI KEMENANGAN – SITI NORDIANA AKUI SUKAR KEKAL RELEVAN
“Saya sebenarnya tak sangka masih lagi diberikan kesempatan oleh peminat untuk menerima anugerah ini. Terima kasih kerana masih sayang saya, sebenarnya anugerah ini menjadi penanda aras untuk saya jadi lebih baik lagi. Orang dah undi kita, mesti peminat mengharapkan yang terbaik.
“Saya tahu ramai yang mempertikaikan kenapa asyik saya sahaja yang menang tapi apa yang boleh saya cakap ini semua adalah rezeki dan juga hasil undian peminat. Saya pun tak pasti apa yang membuatkan mereka undi saya sebab sekarang saya bersaing dengan ramai selebriti BBNU yang menjadi dambaan peminat buat masa kini.
“Terselit nama saya dalam kalangan mereka itu pun buat saya tertanya-tanya apa yang membuatkan mereka (peminat) sayang pada saya. Mungkin sebab saya sentiasa menjadi diri sendiri dan jaga hubungan dengan peminat membuatkan mereka masih kekal sayang saya sehingga kini,” kata penyanyi Siti Nordiana.
Kemenangan penyanyi Siti Nordiana meraih dua trofi utama Anugerah MeleTOP Era (AME2020) iaitu Top Top Meletop Era Wanita dan Top Top MeleTOP Duo/Berkumpulan menjadi pertikaian dalam kalangan netizen yang mempersoalkan perkara tersebut.
Klik untuk gambar besar
Selain dua anugerah utama itu, Siti Nordiana turut berjaya membawa pulang dua kategori lain iaitu Artis Versatil MeleTOP Era dan Grup/Duo MeleTOP Era bersama Khai Bahar.
Mengulas mengenai perkara itu, pemilik nama sebenar, Siti Nordiana Alias, 36, berkata, kemenangan yang diraih merupakan hasil titik peluh peminat yang tidak berbelah bahagi memberikan sokongan terhadap kerjaya seninya.
Siti Nordiana juga menganggap dirinya cukup bertuah apabila mempunyai dua peminat dari dua generasi berbeza yang membuatkan namanya kekal relevan.
Kemunculan semulanya dalam program Gegar Vaganza musim kedua (GV2) turut menjadi titik tolak kepada percambahan bilangan peminat yang mengikuti perkembangan Siti Nordiana sehingga kini.
“Peminat saya datang daripada dua generasi berbeza iaitu zaman di awal kemunculan saya dalam industri dan selepas saya menyertai GV2. Mereka ini yang selalu ada untuk saya selain saya sendiri rajin berhubung dengan peminat, malah kami selalu pergi bercuti sama-sama sebelum ini.
“Sekarang ini untuk terus kekal relevan dalam industri ia merupakan tugas saya dengan sentiasa menampilkan lagu-lagu baharu dan berlakon drama. Saya sendiri akui ia sangat susah nak kekal relevan dalam karier seperti kami. Ia semuanya bergantung kepada usaha selebriti itu sendiri selain sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat,” tuturnya.
Terdahulu, kemenangan penyanyi lagu ‘Angkara’ ini merangkul empat anugerah di pentas AME2020 dipertikaikan netizen yang menganggap ramai artis lain lebih layak. Netizen mendakwa pelakon ‘Dia Semanis Honey’ ini tidak sesuai memenangi beberapa kategori yang dipertandingkan dalam anugerah berkenaan.
SITI NORDIANA MENANG 4 ANUGERAH DI AME 2020 – NETIZEN PERTIKAIKAN