El Al Israel Airlines lancar penerbangan terus pertama ke Maghribi
21/12/2020 03:17 PM
TEL AVIV, 21 Dis — El Al Israel Airlines akan memulakan penerbangan terus pertama dari Tel Aviv ke Rabat, ibu negara Maghribi, pada Selasa, lapor Agensi Berita Sputnik menurut kenyataan syarikat penerbangan negara itu.
“EL AL Israel Airlines dipilih untuk melakukan penerbangan bersejarah pertama dari Israel ke ibu negara Maghribi, Rabat, pada Selasa, 22 Disember 2020,” memetik kenyataan itu.
Tambah kenyatan itu pesawat berkenaan akan membawa delegasi Amerika Syarikat (AS)-Israel.
Awal bulan ini, El Al Airlines mengumumkan pihaknya sedang bersiap sedia untuk melancarkan penerbangan terus dengan Maghribi selepas mendapat kelulusan diperlukan sebaik kedua-dua negara sepakat memulihkan hubungan diplomatik.
Presiden Donald Trump pada awal Disember mengumumkan beliau menjadi perantara perjanjian damai antara Israel dan Maghribi. Perjanjian itu merangkumi jalinan hubungan diplomatik sepenuhnya dan perjalanan udara antara kedua-dua negara, serta pengiktirafan Amerika Syarikat terhadap kedaulatan Maghribi di Sahara Barat.
Maghribi menjadi negara Arab keempat yang memulihkan hubungan dengan Israel tahun ini selepas Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Sudan.