Rwanda hantar tentera ke Republik Tengah Afrika: Presiden
22/12/2020 06:16 PM
KIGALI, 22 Dis — Pasukan tentera Rwanda yang baharu dikerahkan ke Republik Afrika Tengah (CAR) untuk membantu melindungi misi pengaman akan beroperasi “di bawah kerangka undang-undang yang sah,” lapor Agensi Berita Xinhua, memetik Presiden Rwanda Paul Kagame pada Isnin.
Pengumuman Kagame dibuat sehari selepas Kementerian Pertahanan Rwanda menghantar pasukan ke CAR sebagai tindak balas terhadap serangan pemberontak yang menyasarkan pasukan pengaman Rwanda. Kumpulan pemberontak itu dilaporkan disokong bekas Presiden CAR Francois Bozize.
Penempatan tambahan itu atas permintaan pemerintah CAR. Selain melindungi kontinjen Rwanda di bawah misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ia juga akan membantu orang awam, kata presiden.
Konflik bersenjata meletus di negara Afrika Tengah itu seminggu menjelang pilihan raya umum yang dijadual Ahad depan.
Pada Sabtu, pemerintah CAR menuduh Bozize melakukan “percubaan rampasan kuasa” dan mengatur kumpulan bersenjata serta tentera upahan asing di barat negara itu, dengan niat untuk masuk ke Bangui, ibu negara CAR.
Jurucakap parti Kwa Na Kwa Bozize menafikan tuduhan itu, dan menganggap ia strategi untuk mencemarkan imej bekas presiden.
Pemerintah CAR pada Isnin mengatakan Rwanda dan Rusia menempatkan pasukan keselamatan di CAR untuk melindungi proses pilihan raya.