SAHKAN BAKAL BERAKSI DI AJL35 – NABILA TOLAK TAWARAN BERLAKON UNTUK PERSIAPAN
“Alhamdulillah… ya, saya mengesahkan tentang penglibatan saya secara langsung di malam final AJL35. Kesihatan saya semakin pulih, tapi saya masih lagi dalam tempoh recovery.
“Saya juga ingin mengucapkan ribuan maaf kepada pihak produksi dan penerbit kerana saya terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan buat masa ini sehingga hujung Januari kerana saya ingin fokus pada persiapan AJL35.
“Saya yakin penyanyi lain ada persiapan mereka tersendiri tapi ini kali pertama saya terlibat dalam AJL35, sudah tentu saya perlu buat persiapan yang lebih supaya dapat beri persembahan yang baik dan impak kepada penonton,” kata penyanyi dan pelakon Nabila Razali.
Berita gembira buat peminat lagu ‘Peluang Kedua’ apabila penyanyi asal itu mengesahkan bakal menyampaikan karya komposer Hael Husaini dan MFMF itu di pentas Anugerah Juara Lagu yang ke-35 (AJL35).
Klik untuk gambar besar
Nabila, 28, berkata biarpun keadaan kesihatannya sudah semakin pulih namun dia masih dalam tempoh untuk pemulihan daripada masalah peti suara yang dialaminya.
Demi memberi tumpuan sepenuhnya dalam melakukan persiapan ke pentas berprestij itu, Nabila terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon buat masa kini sehingga hujung Januari hadapan.
Hael menerusi perkongsian di laman Twitter miliknya pada Selasa memberitahu bahawa Nabila akan menyanyikan lagunya di malam AJL35 yang dijangka akan berlangsung pada 7 Februari tahun hadapan.
“It’s confirmed, Nabila Razali akan menyanyikan lagu Peluang Kedua di AJL35 nanti. Best of luck @nabilarazali #ajl35,” tulsi Hael.
Rata-rata peminat meluahkan rasa syukur dan tidak sabar untuk melihat persembahan daripada pelakon drama bersiri ‘Biarkan Mereka Cemburu’ itu.
Menerusi laporan mStar pada 10 Disember lalu, Nabila berasa kecewa dan sedih apabila terpaksa melepaskan peluang menyanyikan lagu itu di Separuh Akhir Muzik Muzik ke-35 (SFMM35) episod ketiga akibat masalah peti suara.
Susulan masalah kesihatan yang dihadapi Nabila, penyanyi Hael selaku komposer ‘Peluang Kedua’ mengambil tugas menyampaikan lagu tersebut yang berjaya mara ke AJL35.
Dalam pada itu, Nabila bersyukur apabila impiannya untuk menjejak kaki di pentas AJL bakal menjadi kenyataan dan mengucapkan terima kasih kepada dua komposer hebat kerana menghasilkan karya yang digelar ‘AJL Material’.
“Ia merupakan impian saya untuk jejakkan kaki ke pentas AJL dan Alhamdulillah ia jadi kenyataan. Apa-apa pun saya ingin ucapkan terima kasih kepada Hael dan MFMF kerana menghasilkan lagu yang terbaik atau orang ramai panggil ‘AJL Material’.
“Saya sentiasa bersyukur atas rezeki yang diberikan dan dapat menunaikan permintaan peminat lagu ‘Peluang Kedua’ untuk saya nyanyikan sendiri di pentas AJL35,” ujarnya.
NORANIZA IDRIS AKUI EMOSI KELUARGA TERGURIS – MICHAEL ANG TOLAK BERSEMUKA