1 JANUARI 2021 – AYDA JEBAT TAK RAGU-RAGU NIKAHI NABIL MAHIR
Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat mengakui berdebar menantikan detik bahagia dimana dia bakal bernikah dengan pengacara Nabil Mahir, dalam tempoh kurang seminggu. Ayda dalam masa sama memberitahu dia sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri di usia 29 tahun.
“Alhamdulillah, segala persiapan menuju majlis pernikahan sudah diatur dengan baik. Cuma semakin dekat nak berkahwin semakin banyak pula kerja yang datang dan perlu disiapkan.
“Saya akui sudah bersedia bergelar isteri dan tidak pernah terbit rasa ragu-ragu dengan keputusan ini. Nak cakap fasal bersedia atau tidak, saya kena juga bersedia.
“Saya pun tak pasti apakah yang bakal dilalui selepas bergelar isteri. Saya tak pernah ada pengalaman itu cuma mengharapkan perkahwinan yang dibina berjalan dengan baik dan dipermudahkan.
“Kalau ada perkara yang kami buat salah, kami cuma harap keluarga kedua-dua belah dapat menegur supaya kami menjadi pasangan suami isteri yang terbaik di mata semua,” katanya.
Klik untuk gambar besar
Menurut Ayda, majlis pernikahan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Januari akan diadakan secara sederhana: “Dalam keadaan sekarang ini saya tak bercadang untuk adakan majlis secara besar-besaran pun. Lebih baik bersederhana saja dan saya tak terkilan pun.
“Apa yang penting adalah perkara wajib iaitu majlis akad nikah dapat disempurnakan dengan baik. Kami hanya buat pernikahan di masjid yang hanya akan dihadiri kurang 50 tetamu.
“Bagi majlis resepsi kami bercadang nak buat bulan Februari tapi lokasi yang kami nak sudah penuh. Jadi tengok kepada keadaan nanti,” ujarnya.
Terdahulu pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 28 April lalu menerusi aplikasi Google Meet bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).