Penyelidik Malaysia bangunkan kajian vaksin denggi raih anugerah Jepun


Prof. Dr. Moi Meng Ling Credit : researchgate.net

25/12/2020 12:10 AM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Vaksin penyakit denggi perlu menjalani beberapa fasa ujian bagi membuktikan keberkesanan dan tahap keselamatannya untuk kegunaan jangka masa panjang, kata Penyelidik Malaysia, Profesor Dr Moi Meng Ling.



Dr Moi yang merintis asas pembangunan vaksin mencegah demam denggi di Jepun dan mendapat anugerah daripada Agensi Pembangunan dan Penyelidikan Perubatan (AMED) negara itu hari ini berkata, kajiannya turut merangkumi zika.

“Kajian ini penting bagi Malaysia dan saya berhasrat membentangkan kemajuan teknologi yang dibangunkan di Malaysia dengan kerjasama negara ASEAN dan Jepun bagi membasmi denggi dan zika.

“Sebelum ini saya tidak melihat vaksin denggi dapat dibangunkan dengan pantas. Namun kita sudah melihat bagaimana kita boleh menggunakan kepantasan teknologi untuk membangunkan vaksin baharu COVID-19 untuk digunakan dalam pembangunan vaksin denggi dan zika,” katanya yang menjadi warga asing pertama menerima anugerah itu di Jepun.

Beliau berkata demikian pada sidang video yang turut dihadiri Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka.



Anugerah AMED diberikan kepada mereka yang telah memberi sumbangan besar terhadap penyelidikan dan kemajuan dalam bidang perubatan.

Dr. Moi, yang berasal dari Kuala Lumpur dan kini menjadi profesor di Institut Perubatan Tropika Universiti Nagasaki di Jepun, berkata penyelidikan untuk mencari vaksin denggi amat penting di Malaysia kerana penyakit itu boleh mencetuskan wabak lebih buruk pada masa akan datang.

“Sebagai bekas pesakit denggi, saya berpendapat penyelidikan mengenai vaksin denggi paling kurang diterokai, berbanding virus influenza atau batuk kering,” tambahnya.

Beliau juga menyumbang dalam penyelidikan mengenai tindak balas imun dan penyakit serius terhadap pesakit denggi dan berjaya menghasilkan model biologi untuk pembangunan vaksin dan terapi terhadap penyakit ini.



Dr. Moi juga melakukan kajian mengenai langkah pencegahan penyakit virus bawaan arthropoda, terutama pada denggi, dan khususnya untuk memahami asas pengembangan vaksin yang berkesan untuk mencegah demam denggi.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button