Sokongan peminat tempatan ditagih demi pembangunan bola sepak Malaysia
27/12/2020 02:18 PM
Oleh Vikneswaran Raman
KUALA LUMPUR, 27 Dis — Peminat bola sepak Malaysia tidak sepatutnya terlalu memuja kelab luar negara, sebaliknya perlu meningkatkan sokongan mereka terhadap skuad tempatan demi pembangunan sukan itu di negara ini, kata Pengarah yang juga ketua jurulatih Kuala Lumpur Youth Soccer (KLYS) Luis Pablo Pozzuto.
Katanya menerusi sokongan padu terhadap liga luar negara seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), La Liga Sepanyol dan Serie A Itali, mereka, tanpa menyedarinya, telah mengabaikan liga tempatan khususnya di peringkat akar umbi.
Pengendali berusia 53 tahun dari Argentina itu yang menetap di negara ini sejak lebih 18 tahun lalu selepas menamatkan karier bersama Pulau Pinang, berkata bagi membolehkan bola sepak tempatan membangun, peminat perlu menunjukkan sokongan kepada pasukan dan pemain dengan menonton perlawanan, termasuk liga kecil.
“Pembangunan mengambil masa… namun kita perlu terlebih dahulu mengubah mentaliti daripada terlalu banyak menonton Liga Inggeris kepada menyaksikan perlawanan bola sepak tempatan. Di Argentina, mereka juga menonton EPL, namun jika ada pasukan divisyen dua (dari Argentina) bermain pada masa yang sama, mereka akan menonton perlawanan divisyen dua itu.
“Kita perlu mempunyai semangat mendalam terhadap kelab kita sendiri, tetapi di Malaysia, peminat lebih berahi terhadap kelab asing. Anda tinggal di KL, tapi kenapa anda lebih sukakan (kelab) Liverpool? Media juga perlu mempromosikan aksi bola sepak tempatan dan menggalakan masyarakat menonton perlawanan di stadium,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pozzuto adalah antara beberapa pemain profesional yang bertuah kerana berpeluang menerima bimbingan legenda bola sepak mendiang Diego Maradona ketika bermain bersama pasukan Divisyen Pertama Argentina, Deportivo Mandiyu pada 1994.
Pada penghujung kerjayanya, Pozzuto bermain untuk pasukan Kelantan bagi musim 1997 dan 1998 serta Pulau Pinang (2001-2003) dan membantu skuad Harimau Kumbang itu menjuarai Divisyen 1 (Perdana 1) pada 2001 sebelum beralih kerjaya, melatih beberapa pasukan Liga Malaysia seperti Public Bank dan Melaka.
Mengulas lanjut, beliau berkata isu kebantutan pembangunan bola sepak di negara ini tidak akan selesai dengan hanya menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semata-mata memandangkan peminat, pencarian bakat serta sistem pembangunan turut memainkan peranan besar.
Bekas pemain tengah dan juga penyerang itu berkata pasukan yang bermain dalam liga utama harus mempunyai pelan pembangunan pemain pelapis dengan menubuhkan pasukan remaja, bermula pada usia bawah sembilan tahun yang dilatih sehingga mereka boleh menjadi pasukan simpanan.
“Secara purata, kanak-kanak lelaki di Malaysia memulakan latihan bola sepak secara serius pada usia 15 tahun, (sedangkan) saya bermain dalam divisyen pertama ketika berumur 16 tahun. Pada masa sekarang, kita perlu mula melatih mereka seawal usia tiga atau empat tahun. Untuk menjadi seorang doktor, anda perlu belajar dari peringkat sekolah rendah, menengah hingga universiti. Begitu juga dengan bola sepak, kita perlu ada (pasukan) bawah 9, 12, 15 dan 19 tahun,” katanya.
“Ramai yang akan bersungut, macam mana nak biayai program pembangunan sedangkan nak bayar gaji pemain pasukan utama pun ada masalah. Mungkin kejayaan tidak akan dikecapi dalam sekelip mata, tetapi jika kita berjaya menghasilkan seorang pemain berkualiti, dia boleh dijual kepada pasukan luar… kemudian gunakan wang itu untuk pembangunan. Jika anda tidak melabur, sistem ini tidak akan berjalan.
“Inilah yang dilakukan oleh negara-negara seperti Argentina dan Brazil. Saya tidak nampak perkara itu berlaku di sini. Hanya Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja yang berbuat demikian tapi mereka hendak bersaing dengan siapa jika pasukan lain tidak ada pasukan remaja? Setiap kelab perlu ada pasukan remaja,” tegasnya.
Mengenai sistem sekolah sukan, Pozzuto berkata sekolah sukan harus menilai pelajar secara tahunan dan menggantikan mereka yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang dengan bakat baharu yang berpotensi.