AS benarkan sekatan untuk campur tangan China isu Dalai Lama

WASHINGTON: Presiden Donald Trump menandatangani undang-undang yang membenarkan sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap pegawai China yang campur tangan dalam pemilihan menggantikan pemimpin Buddha Tibet, Dalai Lama.

Kongres meluluskan Akta Dasar dan Sokongan Tibet berikutan kebimbangan atas tindakan campur tangan Beijing dalam menggantikan pemimpin spiritual Tibet, Dalai Lama yang berusia 85 tahun, dengan harapan wujud kebebasan lebih luas di wilayah Himalaya yang diperintah China itu.

Januari lalu, Beijing membantah undang-undang itu dan menyatakan ia ‘sangat mengganggu urusan dalaman China’ selepas Dewan Perwakilan meluluskannya melalui sokongan 392 berbanding 22 undi yang menentang.



Senat meluluskan undang-undang itu pada sesi akhir sesi persidangan dan memasukkannya sebagai sebahagian daripada rang undang-undang perbelanjaan utama yang merangkumi bantuan COVID-19.

Trump sebelum itu enggan menandatangani pakej perbelanjaan itu selepas mengkritik bantuan untuk isi rumah AS terlalu rendah.

Akta mengenai Tibet, yang diperkenalkan oleh Demokrat dan Republikan itu menyatakan pemilihan, pendidikan dan penghormatan Dalai Lama dan pemimpin agama itu perlu dihormati khusus dalam ‘hal-hal kerohanian secara eksklusif menjadi ketetapan pihak berkuasa agama sesuai dalam agama tradisi Buddha Tibet’.

“Turut dinyatakan dalam akta itu, AS akan mengenakan sekatan kepada pegawai ‘yang secara langsung mengganggu identifikasi dan pelantikan rasmi Dalai Lama, pemimpin Buddha Tibet ke-15.



Undang-undang itu juga melarang AS untuk membuka konsulat baharu di China sehingga dibenarkan memasuki ibu kota Tibet, Lhasa dan membenarkan pembiayaan kepada kumpulan yang mempromosikan pemeliharaan budaya, pendidikan dan kelestarian alam sekitar di wilayah Himalaya itu.

Kumpulan penyokong kuat Dalai Lama, Kempen Antarabangsa untuk Tibet, menyambut baik peruntukan undang-undang itu yang dilihat sebagai ‘penanda aras di pentas global’ yang menekankan bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan menerima campur tangan China dalam urusan penggantian Dalai Lama dan menentang tindakan China yang berterusan melanggar hak asasi manusia di Tibet.

Dalai Lama ke-14, yang kini menghadapi masalah kesihatan yang serius dan memperlahankan jadual perjalanannya yakin China mungkin berusaha untuk melantik pengganti yang jujur.

Pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu meramalkan penggantian beliau mungkin seorang gadis yang bertentangan dengan tradisi pelantikan penggantinya, akan dilantik ketika beliau masih hidup atau institusi itu akan berakhir selepas kematiannya.



Pada tahun 1995, Beijing secara rasmi menamakan Panchen Lama yang juga anak Dalai Lama sebagai bakal penggantinya, yang digambarkan oleh kumpulan hak asasi sebagai tahanan politik termuda di dunia. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button