Brendan harap tuah


Pemain Selangor, Brendan Gan (tengah) gembira tersenarai untuk kategori Pemain Tengah Terbaik pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2020 (ABK 20) Virtual. – BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pemain tengah Selangor, Brendan Gan mengharapkan tuah memihak kepadanya untuk memenangi kategori Pemain Tengah Terbaik pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2020 (ABK 20) Virtual selepas tercalon buat kali ketiga.

Belum pernah berjaya untuk mengungguli kategori berkenaan, bekas pemain Perak ini berharap usaha kerasnya pada musim ini mampu membuahkan hasil untuk menamatkan penantian sejak tercalon pada ABK edisi 2017.

“Semestinya satu perasaan teruja apabila kali ini tercalon sekali lagi bersama-sama calon lain yang sememangnya kita tahu mempunyai nama besar dalam Liga Malaysia.

“Saya tetap percaya dan berpegang kepada prinsip bahawa usaha yang keras akan membuahkan hasil lumayan dan sejak tercalon pada edisi sebelum ini sehingga sekarang membuatkan saya sentiasa ingin melakukan yang lebih baik setiap tahun.



“Untuk itu, saya hanya mengharapkan yang terbaik untuk ABK kali ini dan dengan tercalon bagi edisi ini buat kali ketiga membuktikan saya berada pada hala tuju yang tepat untuk terus mencapai prestasi terbaik kepada pasukan,” katanya.

Brendan bagaimanapun terpaksa bersaing dengan sembilan lagi bintang lain termasuk Safawi Rasid dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail (JDT), Faisal Abd Halim (Pahang), Gonzalo Cabrera (JDT), Leandro dos Santos (Perak), Leandro Velazquez (JDT), Lee Tuck (Terengganu FC), Nor Azam Abdul Azih (Pahang) dan Syahmi Safari (Selangor).

Sementara itu, tonggak pertahanan JDT, Aidil Zafuan Abd Radzak pula menyifatkan kapten Perak, Shahrul Saad sebagai calon paling layak untuk memenangi kategori Pertahanan Terbaik tahun ini.

Aidil yang tidak tercalon pada tahun lalu melahirkan rasa gembira apabila kali ini dicalonkan dan akan berdepan cabaran daripada Shahrul, Azmi Muslim (Pulau Pinang), Corbin Ong (JDT), Matthew Davies (JDT), Rafiuddin Roddin (Perak), Shahrul Nizam Ros Hasni (Kelantan), Shakir Hamzah (Kedah), Victor Nirennold (UiTM FC) dan Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman (Melaka).



“Secara peribadi rasa Shahrul layak untuk menang lagi pada tahun ini, tetapi macam mana pun saya tetap berpuas hati dan bersyukur apabila tercalon kali ini.”Saya tidak letak harapan yang tinggi, dan saya sebelum ini pun pernah merasai kemenangan beberapa kali. Jadi kita tunggu dan lihat sahaja siapa yang betul-betul layak untuk menang.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang membuat undian sebelum ini dan kepada mereka yang mengundi saya, saya tidak akan lupa sampai bila-bila sokongan yang diberikan ini,” katanya.

Keputusan semua pemenang akan diketahui pada majlis yang akan berlangsung secara maya esok.

BH online



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button