Teknologi rantaian jamin integriti daging import halal
Pendedahan memalukan mengenai industri daging halal yang berkisar gejala rasuah sistemik sebuah kartel terdiri pengeksport asing yang didakwa berkomplot dengan empat agensi kerajaan, memberi peringatan provokatif bagaimana budaya itu berakar umbi di Malaysia.
Rasuah bukan sahaja setakat rutin membabitkan prosedur birokrasi, bahkan melanggar teras Islam mengenai makanan halal yang berkaitan ritual penyembelihan, selain pembabitan pegawai kerajaan yang rata-ratanya beragama Islam.
Pelanggaran berganda dikecam Islam di mana rasuah dan tipu daya ini mengakibatkan masyarakat Islam tanpa pengetahuan mengambil daging tidak halal selama 40 tahun.
Sejak 1970-an, Malaysia berjaya mengubah industri halal menjadi antara pensijilan halal yang paling mapan dan dipercayai pada peringkat global.
Negara juga mengembangkan industri makanan dan minuman halal serta rantaian bekalan, sambil secara agresif mengambil langkah berkembang ke sektor lain seperti perjalanan, kosmetik dan pembiayaan.
Nilai eksport produk halal Malaysia meningkat hampir tiga kali ganda dalam tujuh tahun – dari RM15.2 bilion pada 2010 menjadi RM43.3 bilion pada 2017 – menyumbang kira-kira 7.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017.
Sayangnya, walaupun eksport halal menjadi sebahagian besar ekonomi negara, sumbangannya masih kecil dalam pasaran halal global yang kini dianggar bernilai AS$2.3 trilion setahun (tidak termasuk kewangan Islam) – pasaran paling cepat berkembang di mana pertumbuhan globalnya dianggarkan mencapai kadar tahunan 20 peratus setahun.
Pada 2018, Malaysia hanya menyumbang satu peratus permintaan halal global, membuktikan banyak peluang dan ruang untuk diperbaiki demi membangunkan sebuah hab halal yang telus dan dipercayai.
Walaupun unjuran penduduk Muslim dijangka meningkat menjadikannya 30 peratus penduduk dunia menjelang 2050 yang juga satu faktor pendorong pengembangan pesat industri halal, pendedahan mengenai kewujudan kartel satu berita yang tidak baik untuk industri halal di sini.
Selain keperluan reaktif memperkukuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan lebih banyak sumber dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk meningkatkan tadbir urusnya mengenai pengeluaran permit import (AP) daging ke Malaysia, keperluan mendesak dan proaktif juga diperlukan untuk mencegah kejadian itu berulang memandangkan rasuah kini menjadi satu cara hidup di Malaysia.
Antara langkah proaktif harus segera dilaksanakan pihak berkuasa terbabit – kementerian yang mengeluarkan AP dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mendapatkan sijil halal – adalah melaksanakan teknologi blockchain atau rantaian blok dalam kedua-dua urusan ini.
Dikenali juga sebagai teknologi lejar agihan (DLT), ia boleh mengubah semua strategi kartel yang licik dan licin untuk mencapai objektif penipuan mereka.
Melalui kontrak pintar, DLT menetapkan secara digital semua proses dan keperluan mengikut kepiawaian halal, mengesahkan pematuhan halal dan memastikan kebolehlaksanaan rantaian bekalan halal.
Kontrak pintar adalah protokol komputer yang bertujuan memudahkan, mengesahkan atau menguatkuasakan perundingan atau pelaksanaan kontrak secara digital.
Ia juga membolehkan pelaksanaan urusan yang boleh dipercayai tanpa pihak ketiga.
Rantaian blok adalah sistem pengagihan kuasa antara semua pihak yang menyertainya, pembayaran kepada perantara (orang tengah) tidak diperlukan dan ini menjimatkan masa dan persengketaan.
Walaupun DLT mempunyai masalahnya tersendiri, tidak dapat disangkal ia lebih cepat, lebih murah dan lebih selamat berbanding sistem tradisional. Lantaran itulah bank dan pemerintah sedang beralih kepada sistem DLT.
Ketika seseorang meminta sesuatu urusan, permintaan disiarkan ke jaringan rakan ke rakan (P2P) terdiri beberapa komputer (juga dikenal sebagai nod) yang mengesahkan transaksi dan status pengguna melalui algoritma diketahui.
Selepas disahkan, urusan digabungkan dengan urusan serupa sebelumnya bagi mewujudkan blok data baharu untuk lejar, yang kemudian digabungkan dengan rantaian blok sedia ada dengan cara yang kekal dan tidak dapat diubah.
Urusan terbaru itu kini selesai, sementara menunggu transaksi lain. Sebagai pangkalan data lejar yang disulitkan (encrypted) untuk mengaburkan maklumat supaya tidak dapat dibaca tanpa pengetahuan khusus, rantaian blok itu hampir mustahil untuk digodam, menjadikan semua rekod urusan dapat disahkan secara kekal.
Sebagai satu sistem pengagihan kuasa tanpa pemilik tunggal, sebarang perubahan dilakukan pada rekod terdahulu mesti disahkan majoriti nod atau anggota dalam jaringan. Ini menjadikan ia teknologi selamat dari segi reka bentuk.
Ringkasnya, rantaian blok halal mempunyai maklumat lengkap mengenai alamat dan jalur rantaian bekalan mereka daripada sumber hinggalah titik pembelian pengguna.
Ini memberi jaminan sangat diperlukan bagi umat Islam bahawa status halal makanan di meja mereka dapat dikesan melalui semua lokasi rantaian bekalan halal bermula dari ladang halal atau ladang ternakan pertama dalam rantaian bekalan itu termasuk identiti petani atau penternak.
Rantaian blok menyuntik kepercayaan kepada bekalan halal dan rantai nilai pemilik jenama yang lebih mampu menjamin integriti halal.
Ini juga dapat digabungkan dalam sistem keberlanjutan dan tanggungjawab korporat yang meluas demi memperluaskan pasaran jenama di luar pengguna Muslim.
Aplikasi nyata rantaian blok yang paling penting adalah asal usul data (data provenance) – dokumentasi mengenai daripada mana data itu berasal dan proses serta metodologi dihasilkannya.
Ia mewujudkan satu garis masa penjagaan tunggal data yang selamat, direka supaya ia kalis gangguan.
Sistem ini dapat digunakan untuk menyediakan ‘cerita’ kepada pelanggan mengenai setiap produk meliputi bahan, lokasi, proses, ramuan dan pembekal, serta memungkinkan perniagaan membuktikan tuntutan mengenai produk mereka menggunakan data sebenar.
Sudah tiba masanya kementerian menggunakan sistem itu dalam mengeluarkan AP untuk pengeksport membawa daging halal ke negara ini dan mengundang agensi kerajaan berkaitan menjadi sebahagian jaringan dalam sistem dilandaskan kepada teknologi rantaian blok.
Penulis adalah Pengarah Media dan Komunikasi di EMIR Research