1,108 PATI ditahan sepanjang Op Benteng

KOTA TINGGI: Seramai 1,108 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan sejak bermulanya Ops Benteng pada 2 Mei lalu.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, berkata turut ditahan seramai 13 orang tekong darat dan 11 orang tekong laut selain rampasan bernilai RM2.6 juta.

Katanya, antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan Ops Benteng adalah kerana wujudnya perancangan risikan dan kerjasama erat khususnya antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor dan Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui 7 Briged.



“Selain itu, kejayaan juga berikutan daripada pembabitan serta koordinasi atur gerak antara komponen darat, maritim serta penggunaan aset dan teknologi seperti radar selain dron untuk membuat pemantauan berterusan.

“Kejayaan Op Benteng di Timur Johor adalah bukti keberkesanan kerjasama antara agensi keselamatan, agensi awam, masyarakat setempat dan ATM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas lawatan kerja ke Markas Taktikal Tanjung Sepang di Bandar Penawar dekat sini hari ini.

Yang turut hadir adalah Pegawai Memerintah KD Sultan Ismail, Kapten Ahmad Sapuan Fathi Muhammad; Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu dan Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria.



Zamrose berkata ATM khususnya Tentera Darat (TD) akan terus komited untuk menentukan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara melalui penguatkuasaan pengawalan sempadan.

“Saya turut meminta penduduk tempatan untuk terus bekerja sama menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah rentas sempadan dan kemasukan PATI kepada pihak berkuasa,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button