Warga Korea Selatan bekerja dengan tentera AS antara penerima suntikan vaksin awal

Penduduk negara itu marah kerana kerajaan lambat membeli vaksin di tengah-tengah gelombang ketiga jangkitan COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan yang positif adalah sebanyak 58,000 kes.

Pengarang akhbar JoongAng Ilbo minggu lalu berkata ‘kami mencemburui Singapura’ selepas negara Asia Tenggara itu menjadi yang pertama di Asia menerima kumpulan pertama vaksin yang dihasilkan firma Pfizer dan BioNTech.

Giliran Korea Selatan hanya akan menyusul pada Februari atau Mac apabila vaksin yang pertama kali dibeli dari firma Britain-Sweden iaitu AstraZeneca dijadual tiba.

Disebabkan pihak berkuasa kesihatan dapat meratakan lekuk jangkitan COVID-19 pada awal penularan pandemik, kerajaan menganggap tiada keperluan mendesak untuk memeterai perjanjian bagi memperoleh vaksin dengan syarikat pembuat ubat antarabangsa.



Prof Choi Jae-wook dari Kolej Universiti Perubatan Korea, berkata kerajaan tersilap membuat tafsiran terhadap situasi dan tidak mendengar pandangan pakar kesihatan yang meminta mereka mendapatkan vaksin lebih awal.

“Sudah tentu, ada baiknya biarkan sahaja syarikat Korea untuk membangunkan vaksin kita sendiri tetapi anda juga harus membuat perancangan berdasarkan situasi sebenarnya,” katanya kepada The Straits Times.

Sebelum Oktober lagi, Korea Selatan melakukan pembayaran pendahuluan kepada projek vaksin global iaitu COVAX untuk mendapatkan 10 juta dos vaksin.

Sementara itu, vaksin buatan Pfizer dan Moderna dilancarkan di Britain serta AS bulan ini.



Sekumpulan vaksin tiba di Korea Selatan pada Jumaat lalu untuk pasukan tentera AS-Korea.

Suntikan pertama diberikan kepada pekerja kesihatan dan responden pertama semalam.

Dilaporkan, kerajaan Korea Selatan baru-baru ini berusaha untuk menyelesaikan perjanjian vaksin dengan Pfizer, Moderna dan Janssen untuk mendapatkan lebih banyak vaksin pada suku kedua tahun depan, berikutan tekanan rakyat negara itu.

Bagaimanapun, Presiden Moon Jae-in menegaskan bahawa rancangan kerajaan berjalan lancar seperti perancangan asal. – AGENSI



China laksana suntikan vaksin COVID-19 babitkan dua fasa



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button