Kelantan FC terima berita gembira selepas FIFA batal sekatan perpindahan


Norizam Tukiman

31/12/2020 12:36 AM

KOTA BHARU, 30 Dis — Kelab Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC) menerima berita gembira dari Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila persekutuan itu membatalkan sekatan perpindahan pemain yang dikenakan ke atas pasukan berkenaan sebelum ini.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata keputusan pembatalan sekatan itu diterimanya daripada FIFA pada pukul 5.00 petang tadi.



Beliau berkata perjuangannya selama empat bulan sejak mengambil alih The Red Warriors (TRW) pada 3 Sept lepas akhirnya berhasil.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada peguam Cassio Francisco de Jesus, Zhafri Aminurashid yang banyak membantu dalam urusan ini sehingga membolehkan kami menyelesaikan semua bayaran tunggakan pemain import dari Brazil itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pembatalan tindakan sekatan perpindahan pemain itu dibuat apabila Kelantan yang kini dimiliki oleh Norizam telah melunaskan tunggakan gaji Cassio berjumlah keseluruhan RM612,632.50 menerusi empat kali pembayaran.

Norizam berkata pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang turut membantu dalam usaha itu.



“Keputusan itu membolehkan saya dan pasukan memberi tumpuan bagi proses pembentukan Kelantan FC untuk musim 2021 dan barisan kejurulatihan baharu yang dijangka akan tiba dalam masa terdekat untuk memulakan tugas pembentukan pasukan.

“Apabila sekatan ini dibatalkan, saya boleh buat pilihan pemain terbaik untuk dibawa masuk bagi memperkuatkan pasukan termasuklah pemain import,” katanya.

Katanya, beliau akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan Kelantan FC mampu bersaing di Liga Malaysia (Liga M) musim 2021.

“Saya telah membelanjakan hampir RM8 juta sejak mengambil alih TRW pada awal September lepas… jumlah itu merangkumi pembayaran hutang-hutang lama dan gaji barisan pemain TRW untuk musim 2020,” katanya.



KAFA mohon tangguh denda FIFA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button