Pasca-Brexit, UK mahu tingkat dagangan, pelaburan dengan Malaysia
British High Commissioner to Malaysia Charles Hay
30/12/2020 06:51 PM
KUALA LUMPUR, 30 Dis — United Kingdom (UK) mahu meningkatkan hubungan dagang dan pelaburan dengan Malaysia selepas fasa peralihan keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) tamat 31 Disember 2020, kata Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay.
Beliau yakin hubungan dua hala UK-Malaysia dan ASEAN akan terus berkembang kukuh terutama selepas negara itu memohon menjadi Rakan Dialog blok serantau itu.
“Bulan lalu (November), kami mengadakan mesyuarat sulung Jawatankuasa Bersama UK-Malaysia untuk Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan Dua Hala – pertama seumpamanya antara kedua-dua negara.
“Jawatankuasa Bersama itu menugaskan enam kumpulan kerja untuk memperkuat kerjasama dua hala dan meningkatkan akses pasaran dalam bidang seperti pendidikan dan perkhidmatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.
EU adalah Rakan Dialog ASEAN. Selepas keluar dari EU, pada Jun lalu UK mengemukakan permohonan untuk menjadi Rakan Dialog ASEAN. UK juga telah melantik seorang duta khas untuk ASEAN.
Menyingkap sepanjang 2020, Hay merakamkan penghargaan untuk hubungan UK-Malaysia, yang dibangunkan berpaksikan landasan kukuh dan telah membantu Suruhanjaya Tinggi untuk mengatasi kesan pandemik.
Ujar Pesuruhjaya Tinggi itu berikutan sekatan perjalanan global semakin ketat, pihaknya menasihati pelancong Britain pulang ke UK sementara masih berpeluang.
“Kita harus melibatkan pihak berkepentingan di semua peringkat mengenai isu-isu penting yang mempengaruhi kepentingan bersama. Ini termasuk pertemuan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta hubungan penting dalam pelbagai bidang lain,” katanya.
Menjelang penganjuran Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu COP26 tahun depan di UK, Suruhanjaya Tinggi telah mengadakan kempen digital dan webinar di Malaysia untuk membincangkan perubahan iklim, kepelbagaian biologi dan hidupan liar.
Mengulas tahun baru yang bakal menjelang, Hay berkata 2021 tahun yang sangat penting untuk membangun semula ekonomi lebih baik dan mampan.