Perutusan Tahun Baru Presiden Kumpulan Media China
01/01/2021 05:17 PM
BEIJING, 1 Jan — Berikut teks ucapan penuh Perutusan Tahun Baru Presiden Kumpulan Media China (CMG), Shen Haixiong.
Rakan-rakan sekalian. Kini tiba tahun 2021 dan tidak lama lagi kita juga akan menyambut kedatangan Tahun Lembu mengikut kalendar tradisional Cina. Lembu, haiwan paling awal dipelihara manusia dan memberikan sumbangan besar dalam tamadun pertanian. Masyarakat China menganggap, lembu bersemangat kental, mempunyai daya tahan dan bekerja keras.
Tahun 2020 yang sudahpun melabuhkan tirainya, dunia diselubungi banyak kesukaran. Wabak COVID-19 tiba- tiba muncul memberikan dampak besar terhadap keseluruhan manusia sejagat. Di China, dengan pimpinan Presiden Xi Jinping dan perjuangan seluruh masyarakat tanpa kenal erti kepayahan, maka membuah kejayaan dalam mencegah dan mengawal wabak, sekali gus menjadikan China entiti ekonomi tunggal utama berjaya mewujudkan pertumbuhan ekonomi positif.
Pada masa ini, wabak masih menular di banyak negara di dunia, kami berharap mereka dapat mengatasi kesulitan secepat mungkin dan semoga semua sihat! Sebagai warga wartawan, membuat liputan dan menyiarkan kebenaran menjadi tanggungjawab kami.
Di awal tercetusnya COVID-19, lebih dua ribu rakan saya bertugas di barisan hadapan dalam kempen pencegahan dan kawalan wabak di China.
Laporan terkini mengenai keadaan sebenar perjuangan melawan wabak di China melalui liputan wartawan di lokasi dan dokumentari dalam pelbagai bahasa berjudul “Berganding Bahu Melawan Wabak” membolehkan dunia luar mendapat maklumat sahih.
Kami telah menganjurkan program ‘COVID-19 Frontline’ dengan mengundang pakar perubatan dari pelbagai negara untuk berkongsi pengalaman rawatan pakar China yang bertugas di barisan depan. Menghasilkan wawancara khas ketua editor jurnal perubatan “The Lancet”, Richard Horton, penulis utama laporan mengenai varian virus COVID-19 dari Universiti Cambridge, Peter Forster dan tokoh-tokoh lain, untuk memperjelas pelbagai khabar angin mengenai wabak berdasarkan fakta dan ilmu sains.
Ahli falsafah Zhang Zai dari Dinasti Song China lebih 900 tahun lalu, pernah berkata, kemiskinan dan kesedihan mampu mengasah kehendak dan membantu mencapai kejayaan. Ini bukan sahaja kepada individu juga untuk negara. Dalam mengatasi kesukaran, kami juga membina persahabatan dan lebih memahami erti sebenar ‘komuniti berkongsi nasib sesama insan’.
Wabak COVID-19 membuatkan kami lebih memahami hakikat apabila manusia berganding bahu mendepani cabaran termasuk penyakit, kemenangan boleh dicipta.
COVID-19 telah menyekat komunikasi tetapi telah mendekatkan hati kita. Dalam tempoh setahun lalu, saya dengan petugas dari badan media antarabangsa termasuk VGTRK, Russian Newspaper, BBC, CNN, Associated Press, Reuters, AFP, NHK, RAI dan EBU serta duta pelbagai negara ke China saling berhubung menerusi surat. Hampir 300 pucuk surat diutus untuk menyampaikan salam dan mengintensifkan persepakatan.
CMG dengan lebih 100 agensi media dari Eropah dan Amerika Latin membincangkan kerjasama dan berjuang melawan wabak bersama-sama melalui “forum awan”. Selain itu, mekanisme kerjasama antara CMG dengan beberapa badan media telah dibentuk dan menghasilkan program termasuk “Speaking Up about China– Generation 2021 dan China’s Greatest Treasures”.
Sama seperti wabak, kemiskinan juga dilihat penyakit masyarakat manusia. Presiden China, Xi Jinping menyatakan pembasmian kemiskian merupakan hasrat manusia sejak zaman kuno dan juga hak asas rakyat pelbagai negara untuk mengejar kehidupan bahagia.
Pada 2020, China telah mewujudkan sasaran pembasmian kemiskinan. Perjuangan selama lapan tahun berjaya membantu kira-kira 100 juta orang keluar dari belenggu kemiskinan, iaitu mencipta satu keajaiban dalam sejarah manusia.
Selaku pencatat sejarah ini, kami telah melancarkan dokumentari China’s War On Poverty dalam pelbagai bahasa, dihasilkan bersama China dan Amerika Syarikat ke seluruh dunia, merancangkan Global Action Initiative 2020: Poverty Alleviation dan program lain. Kami berharap melalui catatan pembasmian kemiskinan di desa China, dapat memberikan pengalaman kepada negara dan rakyat yang masih berjuang untuk membebaskan diri daripada kemiskinan.
Semasa melaksanakan tanggungjawab sebagai warga wartawan, kami menerokai pembinaan all-media di dunia maya. Kami berjaya menyajikan siaran langsung penyelidikan sains seperti pelancaran prob Chang’e-5 ke bulan dan alat penyelam “Fendouzhe” ke tapak yang sedalam 10 ribu meter di dasar laut berdasarkan penggunaan teknologi “5G+4K/8K+AI”. Semasa Ekspo Import Antarabangsa China ketiga, kami menganjurkan “Buy the best products with no need to leave Shanghai”, kempen penjualan menerusi live streaming yang bertujuan membantu usahawan Eropah merintis pasaran China.
Pendapat saya, kebenaran adalah jiwa bagi sesebuah agensi media. Berita yang boleh dipercayai dan maklumat dari sumber berwibawa menandakan tanggungjawab dan kualiti agensi media itu. Namun, ada sesetengah agensi media bertindak memutarbelitkan kebenaran dan fakta. Pandangan mungkin berbeza, namun kebenaran hanya satu.
Pada tahun baru, warga media sejagat bertanggungjawab untuk mengurangkan khabar angin dan fitnah semasa membuat liputan. Pepatah Eropah berbunyi, ‘orang ramai suka berkawan dengan mereka yang benar’.
Pada tahun baru ini, CMG akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai media arus perdana, mengekalkan pendirian objektif dan adil, menyebarkan fakta, suara keadilan dan kecemerlangan tamadun kepada seluruh dunia.
2021 merupakan ulang tahun ke-100 Parti Komunis China (PKC). Dari satu parti hanya terdiri 13 orang 100 tahun lalu, kini menjadi parti dianggotai lebih 90 juta, PKC berjaya mengetuai China merealisasikan kebangkitan bangsa secara aman damai.
Apakah rahsia kejayaan PKC? Kenapa rakyat China berbilang 1.4 bilion begitu menyokong dan menyayangi PKC? Jawapannya akan didapati dalam laporan berita yang bakal kami hidangkan kepada anda. Kami akan terus meningkatkan etika kerja yang mementingkan ketelitian serta menyediakan lebih banyak program menarik kepada anda.
Semoga tahun “lembu” ini membawa tuah kepada anda , dan selamat menyambut tahun baru!
China mahu bersama dunia basmi kemiskinan