Terengganu terus promosi Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan alam

02/01/2021 06:06 PM

HULU TERENGGANU, 2 Jan — Kerajaan negeri Terengganu akan terus mempromosikan Tasik Kenyir di sini, sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi dan menekankan konsep konservasi terhadap flora dan fauna.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata ia dapat dilihat melalui penganjuran Program ‘ASEAN Monsoon Casting Tournament’ (AMCT) iaitu kejohanan memancing berkonsepkan ‘tangkap dan lepas’ yang kini memasuki tahun ke-12 penganjurannya.



“Sememangnya Tasik Kenyir mempunyai ikan buruan pemancing yang terkenal seperti ikan sebarau, ikan toman dan ikan kelisa.

“AMCT di Tasik Kenyir bukan sahaja berjaya mengumpul peminat-peminat gewang (umpan tiruan) dan memancing dengan teknik ‘casting’, tetapi ia mampu menjaga kelestarian ekosistem marin dan konservasi di Tasik Kenyir sebagai destinasi ekopelancongan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah AMCT Edisi Khas 2020/2021.

AMCT anjuran kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan Negeri dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) berlangsung selama dua hari bermula semalam dan disertai 140 kaki pancing dari seluruh negara.

Sementara itu Ariffin berkata selaras dengan Tahun Melawat Kenyir 2021 yang membuka tirainya semalam, kerajaan negeri dalam masa terdekat akan melancarkan kalendar aktiviti pelancongan di Tasik Kenyir bagi menarik lebih ramai pelancong ke tasik buatan itu.



“Banyak acara yang kita telah rancang bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Tasik Kenyir ini. Antara aktiviti utama adalah Festival Tasik Kenyir, ‘Jetrace Challenge’, ‘Kenyir Bird and Nature Quest’ dan acara penutupnya adalah program ini (AMCT),” katanya.

Dalam pada itu Ariffin memberitahu projek pembinaan hotel 150 bilik di Pulau Poh, Tasik Kenyir kini telah siap 85 peratus dan dijangka beroperasi selewat-lewatnya akhir tahun ini.

“Hotel itu hanya tinggal bahagian dewan besar sahaja yang belum siap. Setelah hotel itu beroperasi, kita akan jadikan Pulau Poh sebagai sebuah kawasan bebas cukai yang lebih besar berbanding apa yang kita ada sekarang ini (di Pengkalan Gawi),” katanya.

Kolaborasi bangkitkan semula industri pelancongan di Kuala Lumpur



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button