Tragedi Triso: Kenderaan hilang kawalan sebelum jatuh ke sungai – Polis


Gambar ihsan orang awam

02/01/2021 12:03 AM

KUCHING, 1 Jan — Kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar di Pangkalan Feri Triso, kira-kira 120 kilometer dari sini, dikatakan hilang kawalan sebelum terjatuh ke dalam sungai itu dan mengorbankan sembilan nyawa yang berada di dalamnya.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Bingkok John berkata 4WD jenis Ford Ranger yang dipandu oleh seorang wanita, Ronany Ting, 33, itu dalam perjalanan dari Kapit menuju ke Kuching menggunakan Jalan Beladin-Meludam.



“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai pemandu gagal mengawal pergerakan kenderaan itu menyebabkan kenderaan berkenaan terbabas dan menggelongsor jatuh ke dalam (Sungai) Batang Lupar,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Menurutnya orang ramai yang berada di kawasan jeti itu sempat mengikat kenderaan berkenaan dengan rantai besi dan menariknya bagi menghalang 4WD tersebut tenggelam sebelum bertindak mengeluarkan kesemua mangsa.

“Siasatan punca kejadian dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (Sri Aman). Kesemua mayat dibawa ke Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat,” katanya.

Selain Ronany, tragedi kira-kira 3 petang itu turut mengorbankan lapan lagi penumpang iaitu Siti Aisha Abdullah, 36; tiga remaja yang dikenal pasti sebagai Nor Shuhada Mohamad, 16 (perempuan); Khairunnisa Muhamad, 14 (perempuan); Alvin Phang, 12 (lelaki) dan tiga kanak-kanak lelaki iaitu Wallace Phang,7; Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7 dan Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5.



Tragedi itu turut meragut nyawa seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang dikenal pasti sebagai Mohd Ahmad Mohd Hamdan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Katanya wakil beliau juga telah bertemu dengan anggota keluarga mangsa.

“Saya berharap semua pengguna Feri Triso berhati-hati dalam perjalanan, terutamanya yang dalam perjalanan jauh dan sentiasa mengutamakan keselamatan anda dan keluarga anda,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini.



Arak Punca Tragedi Yang Tragis, Jangan Ada Lagi Jadi Mangsa – Rais Yasin

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button