Pemulihan ekonomi Malaysia bergantung kepada perdagangan global – Moody’s Analytics
04/01/2021 12:25 PM
KUALA LUMPUR, 4 Jan — Belanjawan 2021 Malaysia akan mengurangkan kemerosotan ekonomi, tetapi pemulihan ekonomi akan bergantung kepada perdagangan global, menurut Moody’s Analytics.
Ahli Ekonominya, Denise Cheok berkata sekatan pergerakan di Eropah dan Amerika Syarikat mewujudkan risiko penurunan yang ketara, walaupun terdapat vaksin.
“Pengedaran vaksin akan mengambil masa dan perbelanjaan pengguna dijangka hanya akan meningkat secara beransur-ansur,” katanya dalam nota hari ini.
Belanjawan 2021 Malaysia adalah yang terbesar dalam sejarah negara, dengan sebanyak RM322.5 bilion diperuntukkan untuk tahun semasa.
Mengenai eksport negara, katanya Malaysia akan menaikkan cukai eksport ke atas minyak sawit mulai Jan 2021.
“Ini dijangka meningkatkan eksport pada Disember berikutan pembeli daripada permintaan beban hadapan India dan China,” katanya.
Beliau berkata eksport pertanian Malaysia pada November didorong oleh permintaan yang tinggi terhadap minyak sawit dan produk yang berkaitan.
Sementara itu, katanya jualan runcit, yang rendah sejak suku kedua tahun lepas, dijangka kekal berada di bawah paras sebelum pandemik COVID-19 hingga pertengahan tahun ini.
Cheok berkata sentimen pengguna dan pelabur terjejas pada November selepas lonjakan kes COVID-19 dicatatkan yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan separa di kebanyakan negeri.