Jepun dijangka mulakan progam vaksinasi COVID-19 hujung Februari
Yushihide Suga (Photo: POOL/ZUMA Wire/dpa)
04/01/2021 02:44 PM
TOKYO, 4 Jan — Jepun merancang memulakan program vaksinasi COVID-19 pada akhir Februari, kata Perdana Menteri Yoshihide Suga pada Isnin lapor agensi berita Sputnik.
Tokyo mempunyai perjanjian dengan Pfizer/BioNTech untuk membekalkan 120 juta dos vaksin, farmasi United Kingdom-Sweden, AstraZeneca 120 juta dos dan syarikat Amerika Syarikat, Moderna 50 juta dos.
“Kerajaan sedang mengadakan persiapan untuk memulakan program vaksinasi, mungkin pada akhir Februari, sambil terus mengkaji mengenai keselamatan dan keberkesanan (vaksin),” kata Suga pada sidang media.
Kementerian Kesihatan Jepun menjangkakan, sebaik vaksin COVID-19 diluluskan penggunaannya, 10,000 petugas perubatan menjadi kumpulan pertama menerima dos itu.
Menjelang Mac, seramai empat juta pekerja penjagaan kesihatan dijangka menerima suntikan.
Mulai April, mereka yang menghidap penyakit kardiovaskular, buah pinggang, paru-paru, hati, pesakit onkologi, serta yang mengalami masalah kegemukan (indeks jisim tubuh di atas 30) juga akan diberikan dos vaksin.
Pada awal Disember, Parlimen Jepun meluluskan rang undang-undang untuk pemberian vaksin COVID-19 secara percuma kepada penduduk.