3 daerah di Kelantan kembali banjir
KOTA BHARU: Hujan lebat sejak pagi semalam menyebabkan tiga daerah di negeri ini iaitu Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli kembali dilanda banjir.
Seramai 390 mangsa banjir membabitkan 168 orang di Kuala Krai, Tanah Merah (128) dan Jeli (94) dipindahkan ke 16 pusat pemindahan sementara (PPS) mulai malam tadi.
Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 38 keluarga mangsa banjir di Kuala Krai ditempatkan di enam PPS, sebanyak 34 keluarga di tempatkan di lapan PPS Tanah Merah dan 43 keluarga di dua PPS dekat Jeli.
Sementara itu, enam sungai di Kelantan melepasi paras bahaya sejak malam tadi iaitu Sungai Galas di Dabong mencatatkan paras 38.41 meter (m), Sungai Lebir di Tualang (74.70 m); Sungai Kelantan di Tangga Krai (25.98m).
Ia termasuk Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (18.37m); Sungai Golok di Jenob ( 24.54m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan 9.68m.
Kesemua paras air sungai menunjukkan trend meningkat susulan hujan berterusan ketika ini.
BH Online