Pemulihan ekonomi global tergugat jika pandemik bertambah buruk – Bank Dunia

WASHINGTON: Bank Dunia semalam merendahkan prospek ekonomi global dan memberi bayangan keadaan semakin buruk sekiranya jangkitan COVID-19 bertambah atau pemberian vaksin tertangguh.

Pandemik COVID-19 juga semakin memburukkan risiko beban hutang di negara membangun dan menjejaskan usaha global untuk menghindari krisis baharu, tegas bank terbabit.

Selepas penyusutan 4.3 peratus pada 2020, ekonomi dunia diunjurkan berkembang empat peratus tahun ini, dengan kadar dua per sepuluh lebih rendah daripada ramalan sebelumnya.

Ini berikutan lebih dari separuh negara mencatatkan penurunan dalam laporan separuh tahunan Prospek Ekonomi Global.



China adalah negara yang mencatatkan pemulihan yang sangat mengejutkan pada 2020, tetapi negara maju yang menunjukkan prestasi baik pada tahun lalu dilihat akan menjadi lebih buruk pada 2021, kata bank itu.

Laporan itu memberi amaran bahawa prospek tetap ‘sangat tidak menentu’ dan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) boleh menjunam serendah 1.6 peratus tahun ini jika risiko penurunan semakin bertambah.

Dengan jutaan orang menjadi kemiskinan akibat kemelesetan disebabkan COVID-19, kebanyakan negara perlu mencari jalan untuk menanganinya dengan bantuan secara langsung.

Presiden Bank Dunia, David Malpass, turut mengesyorkan negara supaya memperkembangkan semula pelaburan bagi merangsang pertumbuhan.



“Pembuat dasar menghadapi ‘cabaran yang luar biasa’ ketika berusaha memastikan pemulihan global yang masih rapuh ini bagi mendapat daya tarikan dan menetapkan asas untuk pertumbuhan yang pesat.

“Harapan ini berasaskan kepada pemulihan tenang yang ‘mengandaikan pemberian vaksin dapat diagihkan secara meluas’ dan pembukaan semula ekonomi secara berterusan,” katanya kepada wartawan.

Namun, katanya, jika pertumbuhan berlangsung stabil, KDNK global 2022 akan berada pada paras 4.4 peratus di bawah tahap pra-pandemik.

Namun, kerosakan berterusan terhadap kesihatan, pendidikan dan keluk keseimbangan dapat menurunkan potensi pengeluaran ekonomi global, kata laporan itu.



Ekonomi China dijangka berkembang hampir lapan peratus tahun ini, selepas pertumbuhan dua peratus pada 2020, sementara KDNK Amerika Syarikat (AS) diunjurkan meningkat 3.5 peratus, setengah mata lebih rendah daripada ramalan Jun.

Tidak termasuk China, negara membangun sebagai satu kumpulan akan melihat pertumbuhan hanya 3.4 peratus, kata laporan itu.

Malpass berkata, ketidakseimbangan penurunan dan pemulihan adalah ‘dramatik’ dan mendorong peningkatan dahsyat dalam kadar kemiskinan melampau.

“Golongan berpendapatan rendah paling terkesan akibat kemelesetan dan lambat mendapatkan pekerjaan, rawatan kesihatan, vaksinasi serta sukar menyesuaikan diri dengan ekonomi pasca-COVID-19.



“Malah, negara membangun tidak mampu bertahan untuk satu dekad lagi,” katanya.

Beliau menjelaskan, keadaan itu adalah ‘amaran merah’ dengan beberapa negara berpendapatan rendah menghadapi masalah serius.

Namun, mereka tetap terpaksa membayar hutang pinjaman sebelum wabak, sekali gus menjejaskan kemampuan rawatan kesihatan dan pelaburan.

China, yang memegang 65 peratus hutang negara berpendapatan rendah, memiliki peranan penting dalam mengatasi cabaran itu.



Justeru, Malpass menggesa China bersikap telus mengenai syarat pinjaman, termasuk jaminan dan kadar faedah yang dikenakan. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button