Permudahkan proses pembelajaran dalam talian

Kajian rambang membabitkan 100 pelajar universiti di sekitar Shah Alam mendapati 40 peratus mengaku mengalami tekanan dan kemurungan disebabkan pembelajaran dalam talian.

Ada yang mendapat bantuan kaunseling serta rawatan psikologi, selebihnya jika tidak mengalami tekanan teruk masih merasakan pembelajaran dalam talian sebagai sukar.

Faktor utama tekanan dan kemurungan ialah capaian internet, yang kemudian berkait rapat masalah lain. Lain-lain faktor termasuk persekitaran pembelajaran di rumah kurang sesuai, tidak cukup peralatan dan keperluan pembelajaran, tiada komunikasi dua hala ketika pembelajaran berlangsung dan tumpuan agak singkat memandangkan terlalu lama memandang skrin.

Sikap pensyarah juga antara sebab pelajar tertekan kerana ada yang tidak memahami masalah pelajar yang sudah terlalu banyak dibebani ujian, tugasan dan laporan makmal.



Ada pensyarah terlalu bertegas mahukan semua tugasan dihantar dan dibuat dalam masa singkat. Terdapat juga pensyarah mengambil masa rehat atau cuti hujung minggu untuk melakukan kelas menyebabkan pelajar tidak dapat berehat.

Melalui satu temuramah dalam talian dengan seorang pelajar perempuan dari Kota Marudu di Sabah, beliau memberitahu setiap hari perlu menaiki motosikal sejauh 10 kilometer (km) dari kampung yang tidak mempunyai akses internet ke pekan, semata-mata untuk menyertai kelas dalam talian seawal jam 8 pagi.

Sewaktu musim tengkujuh apabila hujan lebat, adakalanya talian lembab dan pembelajaran juga terganggu. Apabila ini terjadi, beliau tidak dapat mengikuti kelas. Ketika cuaca tidak elok pula, beliau berdepan masalah untuk keluar ke pekan kerana kampungnya di pedalaman tidak ada jalan tar dan becak ketika hujan.

Selain capaian internet, ada pelajar mengakui keluarga sendiri tidak memahami mengapa mereka perlu berkurung dalam bilik untuk menjalani kelas dalam talian. Seorang pelajar memberitahu kerap dimarahi ibu jika tidak membantu dengan kerja rumah, sedangkan terbeban dengan tugasan dan pelbagai arahan daripada pensyarah.



Berdasarkan apa diceritakan pelajar, tidak hairan ada yang terus hilang minat untuk belajar dan mengalami kemurungan. Apabila tertekan, semangat belajar mula luntur dan ada antaranya mahu berhenti belajar.

Disebabkan masalah dihadapi, ada pelajar melepaskan kemarahan pada diri sendiri dan keluarga. Ada juga bimbang dengan masa depan mereka sehingga tidak dapat tidur kerana takut tidak mencapai standard dikehendaki pensyarah.

Tidak kurang juga yang bergaduh dengan adik beradik dan ibu bapa atau bersikap ganas di rumah.

Realitinya, masalah kemurungan dan tekanan dalam kalangan pelajar universiti sangat membimbangkan. Amatlah merugikan jika ramai pelajar berpotensi mengalami kemurungan dan gagal dalam pelajaran mereka kerana norma baharu ini.



Kesimpulannya, kemurungan dan tekanan dialami pelajar universiti tidak boleh dianggap remeh oleh masyarakat, kementerian dan pihak universiti sendiri.

Masalah ini membabitkan aset negara yang satu masa nanti bakal menerajui kepimpinan dan membangunkan negara. Satu kajian terperinci perlu dijalankan mengenai masalah ini.

Usaha semua pihak amat dituntut untuk mempermudahkan proses pembelajaran dalam talian dan mengurangkan masalah kemurungan dan tekanan dihadapi pelajar universiti.

Semoga kerja sama mantap kementerian berkaitan dan universiti dapat memudahkan semua pihak bukan saja pelajar, tetapi mereka yang terbabit secara langsung dengan pembelajaran dalam talian ini.



Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button