Stadium terbesar Australia berpotensi jadi lokasi penularan COVID-19
06/01/2021 02:13 PM
SYDNEY, 6 Jan — Stadium terbesar di Australia, Melbourne Cricket Ground (MCG) dikenal pasti sebagai lokasi penularan COVID-19, setelah seorang individu yang menyaksikan perlawanan kriket pada bulan lalu diuji positif virus itu, lapor Agensi Berita Xinhua.
MCG mempunyai kapasiti melebihi 100,000 orang, namun disebabkan COVID-19 ia dihadkan kepada 30,000 untuk pertandingan kriket antara Australia dan India yang diadakan selama lima hari.
Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Insan (DHHS) Victoria mengatakan lelaki itu menyaksikan perlawanan pada 27 Disember tahun lalu dan meminta sesiapa duduk di bahagian sama dengannya menjalani ujian saringan dan melakukan kuarantin kendiri.
“MCG sedang disiasat sebagai sumber berpotensi untuk penularan,” kata DHHS dalam satu kenyataan. “Ini bermakna kita mempunyai kes COVID-19 yang dipercayai dijangkiti di lokasi ini.
Pusat beli-belah dan 10 kedai yang dikunjungi sehari sebelumnya turut dikenal pasti.
Sementara itu, isu sama ada penonton dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan kriket seterusnya dalam untuk musim ini, yang dijadual bermula di Sydney pada Khamis, masih menjadi perdebatan.
Sydney mencatatkan empat kes baharu jangkitan tempatan COVID-19 pada Rabu, dua di antaranya berkaitan dengan kelompok yang sudah dikenal pasti dan dua lagi sedang disiasat.
Walaupun terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya penularan jangkitan lebih pantas, perlawanan kriket telah dijadualkan di Sidney Cricket Ground dengan kapasiti 25 peratus penonton.