TERKEJUT, KECEWA ISU NATASHA HUDSON – RIZMAN RUZAINI KATA BAJU ITU DIREKA UNTUK FREE HAIR
Nama pelakon Natasha Hudson sejak semalam hangat diperkatakan dan dikecam teruk berikutan pakaiannya yang dikatakan tidak sesuai dengan imejnya yang bertudung dimana ia mendedahkan bahagian bahu serta betis meskipun berlapik dengan kain berwarna kulit.
Berhubung isu tersebut, pereka fesyen popular iaitu Rizman Ruzaini mengakui terkejut apabila koleksinya itu dipakai oleh selebriti bertudung. Katanya, gaun itu telah dibeli seseorang tidak diketahui identitinya menerusi dalam talian sejak tiga bulan lalu.
“Baju tersebut adalah koleksi pakaian pengantin yang telah dibuat sejak tiga tahun lalu dan telah dilelong dengan potongan harga sebanyak 90 peratus.
“Sejujurnya, sebagai pereka baju tersebut, saya terkejut dan agak kecewa kerana si pemakainya seseorang yang berhijab. Sedikit sebanyak tindakan itu boleh mencalarkan imej dan reputasi jenama Rizman Ruzaini yang telah bertapak sejak 15 tahun lalu,” jelasnya.
Klik untuk gambar besar
Sudah banyak bekerjasama dengan ramai selebriti berhijab tanah air, Rizman akui marah apabila mendapat tahu tentang perkara itu kerana baju itu direka untuk wanita free hair.
“Sejujurnya saya marah juga apabila mendapat tahu dia (Natasha Hudson) yang memakai baju itu kerana dia berhijab. Rekaan baju tersebut direka untuk wanita free hair (tidak berhijab) dan pernah digayakan oleh aktres Fasha Sandha,” katanya.
Dalam pada itu, Rizman sempat memberi teguran kepada penatarias yang menggayakan Natasha pada majlis tersebut supaya lebih peka dengan imej seorang wanita muslim serta menjaga sensitiviti masyarakat.