AS: Penunjuk perasaan serbu bangunan Capitol

 

07/01/2021 11:30 AM

WASHINGTON, 7 Jan — Bangunan Capitol Amerika Syarikat diserbu penunjuk perasaan pada Rabu petang, mencetuskan ketegangan dan memaksa pengiraan undi elektoral pilihan raya presiden 2020 dihentikan, lapor Agensi Berita Xinhua.



Anggota Parlimen dilaporkan terpaksa dipindahkan, ketika penunjuk perasaan yang menyokong Presiden Donald Trump menyerbu masuk ke bangunan itu.

“Bangunan Capitol: terdapat ancaman keselamatan, tidak dibenarkan masuk atau keluar, jauhkan diri dari tingkap, pintu. Jika di luar, cari perlindungan,” memetik Polis Capitol.

Anggota Kongres Nancy Mace dari Carolina Selatan, menulis di Twitter “Baru saja mengosongkan pejabat saya di Cannon kerana ancaman. Sekarang kami melihat penunjuk perasaan menyerang Polis Capitol,” tulisnya. “Ini salah … saya sedih dengan apa yang berlaku di negara kita hari ini.”

Seorang wanita dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas terkena tembakan di bahagian dada ketika di perkarangan Capitol.Sekurang-kurangnya lima termasuk pegawai keselamatan dikejarkan ke hospital.



Trump di Twitternya menulis “semua orang di Capitol diminta bertenang.”

“Tidak perlu keganasan. Hormati undang-undang, lelaki dan wanita hebat kami yang berpakaian biru. Terima kasih!”

Naib Presiden Mike Pence menerusi akaun Twitternya berkata “Keganasan dan kerosakan yang berlaku di Capitol perlu dihentikan sekarang.”

“Sesiapa yang terlibat mesti menghormati pegawai Penguatkuasa Undang-Undang dan segera meninggalkan bangunan itu.”



Dalam satu kenyataan bersama, Speaker Dewan Nancy Pelosi dan Ketua Minoriti Senat Chuck Schumer, ahli Demokrat kongres, mahu “Presiden Trump mengarahkan semua penunjuk perasaan segera meninggalkan Capitol.”

Seluruh Pengawal Negara DC dikerah dan diarah mengawal keadaan, menurut ketua jurucakap Pentagon Jonathan Hoffman.

Virginia turut menghantar 200 pasukan dan menggerakkan unit Pengawal.

Datuk Bandar DC Muriel Bowser pada Rabu mengeluarkan perintah berkurung di seluruh bandar bermula 6 petang Rabu hingga 6 pagi Khamis.



Penunjuk perasan rempuh Capitol, Trump didakwa cuba ‘rampas kuasa’

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button