Pakistan tarik balik sekatan visa untuk warga Bangladesh
08/01/2021 03:07 PM
DHAKA, 8 Jan — Pakistan pada Khamis menarik balik semua sekatan visa untuk warga Bangladesh, lapor Agensi Anadolu.
Perkara itu disahkan utusan Pakistan ke Bangladesh dalam kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Bangladesh selepas pertemuan antara Pesuruhjaya Tinggi Pakistan Imran Ahmed Siddiqui dan Menteri Luar Bangladesh Md Shahriar Alam.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala di semua peringkat,” tambah kenyataan itu.
Siddiqui berkata pihaknya sedang menunggu maklum balas yang sama daripada pihak Bangladesh.
“Bangladesh masih mengenakan sekatan terhadap warga Pakistan, sebab itu saya memberitahu menteri luar negara itu bahawa pihak kita sudah tarik balik semua sekatan ,” katanya.
Langkah berkenaan dilihat menjadi perintis kepada penyelesaian dalam hubungan dingin antara dua negara itu. Bangladesh memperoleh kemerdekaan dari Pakistan selepas perang berdarah pada 1971.
Hubungan dua hala sekali lagi tegang pada 2016 susulan perbicaraan Bangladesh atas jenayah kemanusiaan pada 1971 oleh mahkamah baharu dibentuk yang mencetuskan kontroversi.
Kerajaan Bangladesh menubuhkan tribunal domestik, dikenali Tribunal Jenayah Antarabangsa, pada 2009 untuk menjalankan prosiding jenayah kemanusiaan yang berlaku ketika Perang Pembebasan pada 1971 antara Bangladesh (ketika itu Pakistan Timur) dan Pakistan.
Hubungan kedua-dua negara dilihat kembali menunjukkan perkembangan positif apabila Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan pada Julai lalu menghubungi rakan sejawatannya dari Bangladesh, Sheikh Hasina.
Dalam kenyataan berasingan dikeluarkan Kementerian Luar Bangladesh, Alam berkata: “Kami berharap dapat bekerjasama dengan Pakistan.”
Kedua-dua pihak bersetuju mengenai perlunya mengadakan rundingan mengenai kepentingan bersama yang tertangguh selama ini, kali terakhir perbincangan diadakan pada 2010.
Alam juga meminta Pakistan memberikan akses lebih banyak terhadap produk Bangladesh di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Asia Selatan (SAFTA) sedia ada dan menghapuskan halangan perdagangan.