Pemain muda KUFC ada kualiti, disiplin baik – Nazrulerwan Makmor
Sumber: FB – Kelantan United Football Club
07/01/2021 04:21 PM
KOTA BHARU, 7 Jan — Pemain pasukan Kelantan United (KUFC) musim ini mempunyai kualiti serta disiplin tinggi bagi memberi cabaran pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021.
Pengarah Teknikal KUFC Nazrulerwan Makmor berkata aspek itu dinilai oleh beliau serta barisan jurulatih lain ketika sesi pramusim yang sedang dilakukan oleh pasukan itu.
“Dalam tempoh dua minggu sesi latihan dijalankan, secara peribadi saya berpuas hati dengan prestasi kualiti dan apa yang penting disiplin pemain ketika ini.
“Kita fokus pada kecergasan dan skil permainan, pemain nampak bagus, mereka ada kualiti, jika berjaya mencapai potensi, insya-Allah mereka mampu memberi sesuatu kepada KUFC musim ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Selain membawa masuk ketua jurulatih muda dari Jepun iaitu Akira Higashiyama, 31, KUFC menggunakan 90 peratus khidmat pemain muda yang berusia bawah 26 tahun bagi membawa cabaran pasukan itu pada Liga-M musim ini.
Nazrulerwan berkata pemain pasukan dilihat cukup bersemangat ketika sesi latihan selain aspek kesefahaman semakin baik ditunjukkan.
“Kita dapat lihat perkara ini lebih ketara pada pemain baharu yang dibawa masuk oleh pasukan, malah pemain yang dikekalkan musim lalu juga tidak kekok berlatih bersama dan ini satu permulaan yang baik,” katanya.
Nazrulerwan turut menjelaskan pihak kejurulatihan juga sedang menilai beberapa perkara lain dengan pengurusan kelab termasuk perlawanan persahabatan dalam usaha mereka mengukuhkan pasukan sebelum sepak mula hujung Februari nanti.
“KUFC sedang menilai banyak perkara untuk persediaan terbaik pasukan, kami turut mengatur beberapa perlawanan persahabatan melawan kelab-kelab terbaik di negara dalam masa terdekat,” katanya.
KUFC bincang gaji pemain selepas PKP tamat