Polis siasat anggota trafik pukul penunggang motosikal
09/01/2021 02:49 AM
KUALA LUMPUR, 8 Jan — Polis sedang menyiasat seorang anggota polis trafik yang disyaki memukul seorang penunggang motosikal di tepi Lebuhraya Persekutuan, di sini, seperti yang tular di media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata insiden berkenaan berlaku sekitar 8 pagi hingga 9 pagi tadi di Kilometer (KM) 28.3 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur.
“Siasatan ke atas anggota polis berkenaan sedang giat dilakukan dan pihak polis tegas dengan pendirian apa sahaja salah laku pegawai dan anggota akan disiasat dengan teliti dan tindakan diambil daripada sudut undang-undang serta tatatertib sekiranya didapati wujud kesalahan.
“Semasa insiden berkenaan sebuah motosikal ditunggang sepasang suami isteri warga tempatan didapati cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Nik Ezanee berkata semasa melarikan diri, penunggang motosikal itu dipercayai telah melanggar kaki salah seorang anggota trafik yang bertugas.
Beliau berkata penunggang motosikal berkenaan bagaimanapun ditahan oleh anggota trafik lain dan dikenakan saman atas kesalahan tidak menggunakan lorong motosikal, tiada lesen menunggang motosikal, cukai jalan tamat tempoh selain menerusi semakan rekod lampau mendapati individu itu turut mempunyai sebanyak 58 saman atas pelbagai kesalahan trafik.
Nik Ezanee berkata setakat ini penunggang motosikal berkenaan masih belum tampil membuat laporan berhubung insiden yang ditularkan.
“Kami telah mengenal pasti penunggang tersebut dan sedang mengesannya bagi membantu siasatan,” katanya.
Hari ini, tular sebuah klip video berdurasi 37 saat di media sosial memaparkan seorang anggota polis didapati bertindak memukul seorang penunggang motosikal di tepi Lebuhraya Persekutuan.