PKP: Pusingan akhir MSBK ditunda
13/01/2021 04:23 AM
KUALA LUMPUR, 12 Jan — Perlumbaan pusingan kedua dan akhir Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2020 yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 20-22 Jan ditangguh hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Pengarah Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd Ron Hogg dan SIC dalam kenyataan bersama berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 13-26 Jan memaksa mereka untuk menangguhkan acara itu.
Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd adalah promoter perlumbaan MSBK.
“Pada masa ini, kami belum dapat memberikan sebarang rancangan alternatif dan kami mengucapkan terima kasih kepada pasukan dan pelumba di atas kesabaran dan memahami situasi itu. Justeru, marilah kita bekerjasama untuk menangani wabak itu,” katanya.
Berkongsi pandangan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif menganggap penangguhan acara itu tidak dapat dielakkan kerana menjadi keutamaan mereka untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan semua peserta.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri iaitu Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah selama 14 hari bermula esok berikutan peningkatan kes COVID-19.
Muhyiddin turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di enam negeri yang terdiri daripada Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan, manakala Sarawak dan Perlis, diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 13 hingga 26 Jan.