Tindakan AS label pemberontak Yaman sebagai pengganas akan beri kesan serius – PBB
Photo: Manuel Elias/United Nations/dpa
12/01/2021 02:35 PM
NEW YORK, 12 Jan — Keputusan kerajaan Amerika Syarikat (AS) melabel kumpulan pemberontak Houthi di Yaman, sebagai pengganas, kemungkinan akan mencetuskan kesan serius, lapor Agensi Berita Xinhua.
“Keputusan itu mungkin akan membawa kesan kemanusiaan dan politik yang serius,” kata jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, Stephane Dujarric, pada taklimat media Isnin.
Setiausaha Negara AS Mike Pompeo berkata Washington akan menyenaraikan pemberontak Houthi Yaman yang disokong Iran sebagai organisasi pengganas asing, satu tindakan disifatkan kumpulan bantuan boleh menghalang usaha menangani krisis kemanusiaan yang dianggap terburuk di dunia.
Pompeo turut menyebut mengenai serangan 30 Disember di Lapangan Terbang Aden, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang dan mencederakan lebih 50 yang lain.
Ketua diplomat itu akan mengemukakan rancangannya kepada Kongres pada 19 Januari dan, jika AS meneruskan tindakannya itu, ia akan memberi kesan negatif kepada import makanan dan barangan keperluan lain, terutamanya ketika lebih ramai rakyat Yaman mengalami kebuluran, tegas Dujarric.
Pompeo dalam kenyataan pada Ahad mengakui tindakan tersebut akan memberi “kesan terhadap situasi kemanusiaan di Yaman,” sambil menambah AS akan mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kesannya.
Dujarric meminta AS memastikan lesen dan pengecualian diberikan, agar bantuan kemanusiaan sampai kepada golongan memerlukan, dan sektor swasta terus berfungsi bagi mencegah keruntuhan ekonomi dan kebuluran berskala besar.
Operasi kemanusiaan besar-besaran di negara ini, yang terbesar di dunia, tidak dapat menggantikan sektor swasta atau mengimbangi penurunan besar dalam import komersial, tambahnya.
Proses politik di Yaman juga berisiko tidak stabil akibat pelabelan pengganas, kata Dujarric, dan posisi pihak penentang dalam konflik yang menggegarkan negara itu sejak 2015, akan menjadi lebih teruk.
Menurut PBB pada Disember, lebih 230,000 rakyat Yaman mati dalam perang, kebanyakannya berpunca oleh kekurangan makanan, perkhidmatan kesihatan dan infrastruktur.
Dujarric berikrar badan dunia itu akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk “melanjutkan dan meneruskan proses politik yang inklusif untuk mencapai penyelesaian perundingan yang komprehensif bagi mengakhiri konflik.”
Yaman gesa senaraikan pemberontak Houthi dalam daftar pengganas