BFA saran perkukuh hubungan perdagangan bebas entiti ekonomi Asia
15/01/2021 03:11 PM
BEIJING, 15 Jan — Forum Asia Boao (BFA) menyarankan hubungan perdagangan bebas dan integrasi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara entiti ekonomi utama di rantau Asia terus diperkukuh bagi membentuk Perjanjian Perdagangan Serantau (RTA) yang melibatkan lebih banyak bidang, sekali gus mewujudkan integrasi ekonomi rantau Asia.
Merujuk kepada situasi penularan wabak COVID-19 yang semakin meruncing, BFA mengeluarkan laporan bertemakan “Perjanjian Perdagangan Bebas: Pilihan Asia” pada Khamis untuk menggariskan hala tuju perkembangan perdagangan bebas di Asia.
Menurut laporan itu, negara Asia disaran meningkatkan kaji selidik dan penggunaan peraturan FTA, menjadikan semakin banyak syarikat dan individu relevan dengan manfaat FTA di rantau ini, memperincikan pelaksanaan dasar pintu terbuka dan pembaharuan serta menyempurnakan dan mengubah suai dasar domestik bagi menyesuaikan diri dengan FTA.
Laporan itu turut menyatakan negara-negara yang kurang maju juga digalakkan menganggotai FTA bagi pembangunan keupayaan.
Pelbagai negara digalakkan mempercepat langkah penubuhan zon perdagangan bebas Asia bertahap tinggi bagi menggubal penyelesaian Asia yang bertujuan untuk mendorong pembaharuan sistem perdagangan pelbagai hala.
Setiausaha Agung BFA, Li Baodong pada sesi perbincangan mengenai laporan itu menyatakan, negara Asia perlu mengamalkan nilai “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” dalam usaha melawan pandemik COVID-19.
Tambah Li, negara-negara rantau ini juga perlu mendorong pelaksanaan peraturan FTA dengan sikap terbuka agar menyediakan tunjangan dan penggerak baharu kepada pertumbuhan ekonomi serantau.
Naib Pengerusi BFA, Zhou Xiaochuan pula berpendapat, entiti ekonomi Asia digalakkan menganggotai FTA yang peringkatnya lebih tinggi dan melibatkan lebih banyak bidang.
Katanya, ia sekali gus memberi impak dorongan kepada pembaharuan Pertubuhan Perdagangan Sedunia dan pembentukan semula peraturan perdagangan pelbagai hala.