Dasar aliran data bebas ke seluruh ASEAN perlu diwujudkan segera – Pakar Ekonomi
15/01/2021 03:47 PM
Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 15 Jan — Dasar dan peraturan mengenai aliran data secara bebas ke seluruh ASEAN mesti diwujudkan segera untuk menggalakkan pendigitalan dan meningkatkan penggunaannya di rantau ini.
Pakar Ekonomi Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA) yang berpangkalan di Jakarta, Dr Lurong Chen berkata gesaan itu penting ketika ini kerana aktiviti digital yang merangkumi penetapan peraturan, kemudahan perdagangan dan liberalisasi perkhidmatan sangat bermanfaat.
“ASEAN, sebagai pertubuhan serantau, telah menunjukkan potensinya dalam menyokong pertumbuhan dan pembangunan. Oleh itu, usaha serantau diperlukan untuk menggalakkan digitalisasi, dan tugas paling mendesak adalah mewujudkan aliran data yang bebas, ” kata Chen menerusi e-mail kepada Bernama, sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1), dijadualkan berlangsung secara sidang video pada 21 dan 22 Januari ini.
Mesyuarat yang akan dihoskan Malaysia itu antara lain akan menumpukan mengenai mewujudkan blok ekonomi digital dalam kalangan negara ASEAN.
Chen berkata ketika bergelut dengan cabaran COVID-19, aliran pelaksanaan aliran data secara bebas tentunya akan membantu memacu ekonomi digital, dan menuju integrasinya ke seluruh wilayah.
“Pandemik ini mengukuhkan kepentingan digitalisasi berbanding sebelumnya. Selain e-dagang, e-pembelajaran dan e-kesihatan juga menunjukkan permintaan dan potensi pasaran yang besar ketika ini.
“Mengenai hal ini – ya, menyegerakan langkah liberalisasi perkhidmatan akan membantu memacu ekonomi digital,” katanya.
Chen yang juga Felo Penyelidikan di Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), cabang akademik dan penyelidikan PBB menambah dengan Rakan Dialog ASEAN, bidang transformasi digital dan ekonomi dari segi isu-isu merangkumi keselamatan siber dan perlindungan data peribadi dalam kalangan blok juga boleh ditambah baik.
“Ia akan menjadi asas untuk meningkatkan “aliran data bebas yang boleh dipercayai “di seluruh negara.
“Berunding dengan negara terkemuka digital lain (seperti Amerika Syarikat, China dan Jepun), akan membantu ASEAN untuk berkongsi pengalaman dan mempelajari bagaimana mempercepat penggunaan digital dan mengekalkan pembangunannya.
Mengulas mengenai ADGMIN1, Chen berkata mesyuarat itu penting terutamanya dalam landskap sosioekonomi pandemik semasa.
“COVID-19 menimbulkan serangkaian cabaran baharu, dari segi sosial dan ekonomi.
“Orang ramai berharap mesyuarat itu dapat memberi manfaat; mengenai isu yang menarik perhatian pemimpin ASEAN, bagaimana menteri akan mentafsirkan cabaran ini, dan kaedah yang akan digunakan ASEAN untuk bekerjasama membentuk kerangka pentadbiran serantau mengenai digitalisasi.
Bertemakan “ASEAN: A Digitally Connected Community”, pertemuan itu bertujuan memperkukuh kerjasama dalam kalangan ASEAN untuk membangun ekosistem digital sebagai tonggak dalam rancangan pembangunan pasca-COVID-19.
Dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, ADGMIN1 juga akan melibatkan rakan dialog ASEAN termasuk Jepun, China, Kesatuan Eropah, Korea Selatan dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa.
ASEAN, yang ditubuhkan pada 1967, merangkumi Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.