Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Lokman Adam ketepi komital

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini, menolak rayuan bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam untuk mengetepikan kebenaran Peguam Negara bagi memulakan prosiding komital terhadapnya.

Prosiding komital itu susulan Lokman didakwa mengugut saksi dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saksi terbabit ialah Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, iaitu bekas Pegawai Khas Najib adalah seorang daripada saksi penting dalam kes berkenaan.



Terdahulu, panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim, Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara menolak rayuan Lokman Adam selepas prosiding pendengaran yang dilakukan secara dalam talian menerusi Zoom.

Mahkamah dalam penghakimannya, berkata tiada alasan untuk Mahkamah Persekutuan mengganggu keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

“Mahkamah juga mendapati perayu dalam kes ini juga tidak diprejudiskan,” katanya.

Pada pendengaran itu, turut bersidang Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zaleha Yusof, Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim.



Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi, berkata dengan keputusan hari ini, pendengaran merit permohonan menghina mahkamah ke atas Lokman dijadual untuk diteruskan di Mahkamah Tinggi.

Kes itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah pada 27 Januari ini.

Pada 13 Mei 2020, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Yaacob Md Sam sebulat suara menolak rayuan Lokman Noor dan berpandangan Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam membuat keputusan permohonan kebenaran Peguam Negara itu tanpa mewajarkan intervensi mahkamahnya.

Mahkamah Tinggi, pada 14 Januari 2020, menolak permohonan Lokman Adam selepas berpendapat kenyataan Peguam Negara adalah jelas dan mencukupi ketika ia dibawa kepada perhatian responden (Lokman).



Pada 22 Oktober 2019, Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman Adam bagi perbuatan menghina mahkamah yang dilakukan dua kali pada 25 September 2019.

Thomas yang dilantik sebagai Peguam Negara untuk tempoh dua tahun pada 4 Jun, 2018 oleh perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali, meletak jawatan pada 29 Februari 2018.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Lokman Noor Adam ditahan polis



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button