V Shem-Wee Kiong mahu kekal prestasi cemerlang di Terbuka Thailand
15/01/2021 10:09 PM
KUALA LUMPUR, 15 Jan — Beregu lelaki profesional negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong bertekad mengekalkan prestasi cemerlang pada Kejohanan Badminton Yonex Terbuka Thailand di Impact Arena, Bangkok, Thailand.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu mengesahkan tiket ke separuh akhir hari ini walaupun terpaksa bergelut dengan keadaan angin tidak menentu di venue pertandingan, selepas menewaskan rakan senegara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Ramsani 21-16, 21-19 di suku akhir.
“Kami kena mengerah kudrat ketika melakukan pukulan kerana tiupan angin yang tidak menentu tapi kami harap dapat kekal konsisten pada perlawanan esok,” kata V Shem ketika dihubungi Bernama hari ini.
Gandingan negara itu bakal berdepan pasangan Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin yang mengenepikan pasangan England Marcus Ellis-Chris Langridge 12-21, 21-14, 21-15.
Satu lagi pasangan beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terkandas di suku akhir apabila tewas kepada pilihan keenam dari Taiwan Lee Yang-Wang Chi Lin 21-23, 15-21.
Beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga tewas di tangan wakil tuan rumah Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 18-21, 17-21 manakala pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia gagal meneruskan kemaraan selepas tunduk kepada pilihan kedua Chou Tien Chen dari Taiwan 17-21, 15-21.
Skuad badminton negara akan meneruskan aksi di Bangkok dalam Kejohanan Toyota Terbuka Thailand di venue sama pada 19 hingga 24 Jan ini.
Pemain Malaysia pamer aksi cemerlang pada pembukaan terbuka Thailand Yonex