Datuk Seri dicekup, disyaki operasikan sindiket gerbang pembayaran judi dalam talian

Oleh – Syeikh Baran


Datuk Seri dicekup, disyaki operasikan sindiket gerbang pembayaran judi dalam talian
Hasbullah menunjukkan barangan yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan di sekitar Dang Wangi, Kuala Lumpur, 28 hingga 31 Januari lalu.

Satu sindiket perjudian dalam talian dikesan mula menggunakan gerbang pembayaran dikenali ‘Mypay88’ sebagai medium kaki judi membayar pertaruhan mereka.

Sistem Proses Pertukaran Kewangan (FPX) yang dibangunkan sejak setahun lalu telah terbongkar selepas 10 individu warga tempatan ditahan termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri.



Hasil siasatan polis mendapati, sindiket turut berselindung disebalik sebuah entiti bernama Citra Layar Sdn Bhd berjaya melakukan transaksi mencecah RM576 juta hasil daripada kadar perolehan (turnover).

Mendedahkan perkara tersebut, Ketua Pasukan Siasantan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Datuk Mohammed Hasbullah Ali berkata, serbuan terhadap kesemua suspek dilakukan di sekitar Dang Wangi, di sini, 28 hingga 31 Januari lalu.

Katanya, kejayaan tersebut hasil kerjasama pihaknya, Urus Setia Pejabat KPN, dan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Sembilan lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan berusia lingkungan 27 hingga 49 tahun termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri kerana disyaki terlibat kes disiasat.



“Peranan kesemua yang ditahan termasuk pembangun perisian, pemilik syarikat, pengendali akaun, dan kerani.

“Mereka direman selama tiga hingga 11 hari bagi membantu siasatan yang dijalankan dibawah Seksyen 4(1)(C) dan 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan, Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Harap 2001 (AMLATFPUAA),” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Jelas Hasbullah, serbuan tersebut turut membawa kepada rampasan sembilan telefon bimbit, tiga peralatan komputer, empat set dokumen, dua jam tangan dan 10 buah kenderaan mewah dan wang tunai bernilai RM325,000.

“Pihak polis turut membekukan 42 akaun bank yang membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM18.3 juta dipercayai hasil aktiviti perjudian dalam talian.



“Terdapat dua lagi suspek yang masih bebas, kita sudah mengenal pasti mereka yang terlibat,” katanya.

Kata Hasbullah, terdapat 40 perjudian dalam talian menggunakan sistem MyPay88 sebagai platform pembayaran mereka.

“Masih ada lagi ‘kaki judi’ melakukan pembayaran di dalam akaun pertaruhan yang dibekukan dan sehingga kini mencecah RM21 juta,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan jurang kelopongan dalam sistem yang terbabit berjaya dikawal dan dipantau.



“Orang awam juga digesa menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam memberikan maklumat aktiviti perjudian dalam talian atau jenayah lain.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang telibat,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button