COVID-19 bantutkan rancangan skuad luncur air negara


Aaliyah Yoong Hanifah

18/01/2021 08:44 PM

Oleh R. Vikneswaran

KUALA LUMPUR, 18 Jan — Skuad peluncur air negara sudah bersedia untuk bangkit daripada pandemik COVID-19 dihadapi mereka tahun lepas dan menjadikan 2021 sebagai satu tahun yang tidak dapat dilupakan tetapi lonjakan jumlah kes sejak penghujung 2020 sekali lagi membantutkan rancangan mereka.



Atlet terkemukanya, Aaliyah Yoong Hanifah bahkan telah mengorbankan satu tahun persekolahannya sejak September lepas yang menyasarkan untuk mencatat keputusan cemerlang dalam Kejohanan Remaja Dunia Ski Air dan Papan Luncur Antarabangsa (IWWF) 2021 yang dijadualkan pada Ogos ini di Florida (ditangguhkan dari Ogos 2020), tetapi kini menghadapi satu lagi keadaan tidak menentu.

Selain Aaliyah, adik lelakinya Aiden, 15, dan Adam, 13 juga terpilih untuk menyertai kejohanan remaja bertaraf dunia itu.

Ketua jurulatih skuad dan bapa kepada adik-beradik itu, Hanifah Yoong berkata Aaliyah yang berusia 17 tahun mempunyai prospek yang baik untuk merangkul kejuaraan dunia Bawah (B)-17 pada Ogos tahun lepas jika tiada ancaman pandemik kerana ketika itu dia menduduki tempat kedua dalam acara “tricks” dan ketiga keseluruhan di peringkat dunia.

Bagaimanapun, pemenang enam pingat emas di Sukan SEA itu, kini telah turun ke tempat keempat dalam acara tricks dan kelapan dalam ranking keseluruhan kerana tidak dapat bersaing selama setahun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia, manakala pemain luncur air lain, terutama dari Amerika Syarikat berpeluang menyertai banyak pertandingan untuk meraih mata.



“Ia amat sukar buat pasukan luncur air kebangsaan. Ketika PKP mula dilaksanakan pada Mac tahun lepas, pasukan itu tidak turun menjalani latihan selama empat bulan dan terpaksa berlatih semula pada Julai apabila dibenarkan di bawah PKP Bersyarat untuk mendapatkan semua prestasi seperti sebelum PKP.

Apabila PKP kedua dilaksanakan minggu lalu dan atlet telah hampir kembali dengan prestasi asal dan bersedia untuk membuat kemajuan bagi pertandingan utama dan Kejohanan Dunia pada musim 2021, mereka sekali lagi kembali kepada ‘mod melahu’ untuk tempoh yang tidak tahu berapa lama lagi,” katanya kepada Bernama.

Hanifah berkata kemunculan pandemik yang diikuti dengan pelbagai sekatan dan perubahan telah menjejaskan semua orang dari segi mental dan fizikal, sambil menambah bahawa penyakit mental boleh menjejaskan kanak-kanak sekolah tidak kira sama ada mereka terlibat dalam bidang sukan atau tidak.

“Itulah sebabnya saya mencadangkan kepada pasukan kami untuk mengambil cuti sekolah setahun supaya mereka tidak terlalu tertekan secara mental dalam melakukan latihan luncur air dan mengikuti pengajian akademik di sekolah melalui kelas dalam talian, sementara keluarga juga kehabisan wang untuk membayar yuran sekolah.



Bagi kami, kelulusan dalam akademik boleh ditangguhkan tetapi tempoh untuk cemerlang dalam bidang sukan agak singkat berbanding dalam pendidikan universiti,” katanya sambil menambah bahawa anak-anaknya baru sahaja mendapat biasiswa dari Majlis Sukan Negara untuk melanjutkan sekolah pada bulan depan.

Menurut Hanifah, daripada tujuh pertandingan utama yang dirancang untuk penyertaan oleh Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF) pada 2021, Masters Moomba di Melbourne, Australia pada Mac dan dua acara di Amerika Syarikat iaitu “Florida Inboards” dan Terbuka AS di Callaway Gardens, Georgia pada Mei – berkemungkinan tidak dapat disertai.

Beliau berkata bahkan kejohanan luncur air bertaraf antarabangsa yang dijadualkan di Putrajaya pada Julai ini juga mungkin ditunda, yang bermaksud hanya Kejohanan Dunia B-17 dan B-21 pada Ogos dan Kejohanan Asia pada September sahaja yang boleh diharapkan.

“Kebimbangan utama sekarang adalah untuk kita mengetahui bilakah pandemik ini akan berakhir supaya kami dapat merancang dan melaksanakan rancangan baharu itu untuk membina kembali prestasi pasukan dan berharap dapat bersaing dalam kedudukan yang cukup kuat.



Kami juga perlu memastikan pasukan tetap fokus dalam membina kekuatan di rumah dan banyak berlari agar tetap sihat dari segi mental dan fizikal. Kami berharap PKP tidak lebih dari empat minggu agar dapat kembali menjalani latihan pada 10 Feb,” katanya.

— BERNAMA

Pengorbanan yang mahal untuk saksikan peluncur ais muda beraksi di Olimpik



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button