JDT ikat penyerang Argentina Jonathan Herrera

18/01/2021 06:17 PM

JOHOR BAHRU, 18 Jan — Johor Darul Ta’zim (JDT) memperkuatkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini apabila mengikat penyerang import baharu dari Argentina Jonathan Herrera.

Pengarah Sukan JDT FC Martin Prest berkata mereka percaya Herrera adalah pemain yang layak berdasarkan umur serta cara permainan yang sesuai dengan pendekatan bola sepak diamalkan JDT.

“Kami melihat beberapa pemain untuk melengkapkan pasukan dan akhirnya kami memutuskan Herrera adalah penyerang import kami,” katanya di laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

Prest berkata mereka akan memperkenalkan secara rasmi pemain berusia 29 tahun selepas beliau habis menjalani tempoh kuarantin wajib, bersama-sama dua lagi pemain.

Berasal dari Buenos Aires, Herrera sebelum ini beraksi bersama Primera B Nacional Deportivo Riestra, iaitu pasukan divisyen dua Liga Bola Sepak Argentina.

Leave a Reply