Suntikan bantuan kerajaan beri manfaat 20 juta rakyat, 2.4 juta perniagaan
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
20/01/2021 03:32 AM
PUTRAJAYA, 19 Jan — Sebanyak 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan mendapat manfaat daripada pakej bantuan kerajaan yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata bantuan itu membabitkan suntikan kewangan sebanyak RM182 bilion.
Semenjak bermulanya penularan wabak COVID-19 awal tahun lepas, kerajaan telah melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM305 bilion atau lebih 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi membantu rakyat serta perniagaan dan melindungi ekonomi negara.
“Jika perlu, kerajaan akan terus membantu seperti yang terbukti sebelum ini,” katanya pada satu taklimat khas mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) di sini hari ini.
Pada Isnin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej PERMAI bernilai RM15 bilion dengan 22 inisiatif untuk memerangi COVID-19, yang terus melanda negara.
Pakej bantuan kelima kerajaan itu ditunjangi tiga matlamat iaitu memerangi COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
Pakej pertama kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Muhyiddin bagi menangani kesan COVID-19 diumumkan pada 27 Mac 2020, iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat.
Bantuan itu disusuli PRIHATIN Tambahan pada 6 April 2020, PENJANA (5 Jun 2020) dan KITA Prihatin pada 23 Sept 2020.
Menurut Tengku Zafrul, dari segi saiz, pelan pemulihan ekonomi jangka pendek dan jangka panjang adalah sebesar belanjawan negara.
Setakat ini, 44 inisiatif telah selesai dilaksanakan dan 32 masih berjalan, kata beliau.
“Tahun ini kita di langkah kelima (menggiatkan) melalui Belanjawan 2021 yang paling besar dalam sejarah negara. Ini termasuk RM17 bilion dana Kumpulan Wang COVID-19,” katanya.
Tengku Zafrul berkata ada juga inisiatif tanpa suntikan langsung yang tidak dikira dalam Belanjawan 2021.
Menteri Kewangan itu berkata usaha terbabit terganggu sedikit bukan sahaja disebabkan peningkatan kes COVID-19 sehingga kerajaan perlu melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan tetapi juga bencana banjir yang menjejaskan lapan negeri dengan lebih 64,000 mangsa.
Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat: Dilema Perusahaan Kecil Dan Sederhana