George Attram, Jordan Ayimbila sertai pasukan bola sepak Selangor 2
20/01/2021 07:43 PM
SHAH ALAM, 20 Jan — Pasukan bola sepak Selangor 2 memperkuatkan ‘jenteranya’ dengan penyertaan dua pemain import pinjaman daripada Kelab Bola Sepak Accra Lions dari Ghana, iaitu George Attram dan Jordan Ayimbila.
Pengarah Teknikal Selangor FC Michael Feichtenbeiner dalam kenyataan hari ini berkata, Attram, 20, selaku pemain penyerang serta Ayimbila, 19, pemain pertahanan tengah yang baru selesai menjalani kuarantin pada 11 Jan lepas, diyakini mampu menyesuaikan diri dengan pasukan merah kuning itu.
“Saya gembira kedua-dua mereka mahu menyertai Selangor FC dan ini adalah peluang bagi mereka mengembangkan karier bola sepak di sini. Red Giants FC bukan sahaja ingin menghasilkan bakat tempatan yang hebat untuk Liga Super, tetapi juga mengembangkan bakat pemain import.
“Pasukan Accra Lions juga telah menghasilkan ramai pemain muda Afrika yang beraksi di kelab Eropah dan Asia Barat. Jadi, saya yakin tidak ada masalah untuk George dan Jordan, untuk menyesuaikan diri dengan DNA bola sepak Selangor FC,” katanya.
Feichtenbeiner berkata keberadaan mereka dalam Selangor FC disifatkan sebagai peluang besar dalam perniagaan bola sepak di samping dapat mengembangkan bakat di sini.
“Sekiranya mereka sudah bersedia dan jika ada kelab atau pasukan dari luar ingin mendapatkan kedua-dua pemain ini, kami bersedia memasarkan untuk liga yang lebih besar pada masa hadapan.
“Ini bukan sahaja baik untuk masa hadapan kelab, malah ia juga bakal membuka peluang baru buat mereka sebagai pemain bola sepak profesional di tahap yang lebih tinggi,” kata Feichtenbeiner.
Dalam pada itu, Feichtenbeiner berkata persiapan pramusim bagi Selangor 2, pasukan untuk Piala Presiden dan Piala Belia telah bermula sejak awal bulan ini, dan ia masih berlangsung secara dalam talian.
“Ketiga-tiga pasukan juga telah menjalani beberapa ujian asas bagi menguji keupayaan dan kecergasan pemain, sebelum liga bermula.