Wanita Malaysia antara 41 kes import COVID-19 tidak bergejala di Singapura
25/01/2021 09:52 AM
Oleh Massita Ahmad
SINGAPURA, 25 Jan — Seorang wanita Malaysia berusia 38 tahun merupakan antara 41 kes import COVID-19 baharu yang tidak bergejala dilaporkan di Singapura pada Ahad, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.
Berdasarkan data penuh kementerian yang dikeluarkan malam tadi, pemegang permit kerja yang tiba dari negara asalnya itu dilabelkan sebagai Kes 59586.
Seorang wanita penduduk tetap Singapura berusia 39 tahun yang kembali dari Malaysia juga merupakan antara kes import tidak bergejala di negara itu.
Kementerian memaklumkan satu kes import juga dilaporkan membabitkan seorang kru kapal pemegang pas khas yang menaiki kapal dari Malaysia dan belum diturunkan dari kapal berkenaan.
Lelaki berusia 45 tahun dari Filipina itu dibawa ke hospital selepas menunjukkan gejala sebelum diuji positif COVID-19, menurut kementerian itu.
Setakat tengah hari Ahad, Singapura melaporkan sebanyak 48 kes import iaitu 41 tidak bergejala manakala tujuh mengalami gejala.
Kes import lain adalah dari Bangladesh, Colombia, Mesir, Perancis, India, Indonesia, Myanmar, Nigeria, Filipina, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat (AS).
Republik itu melaporkan tiada jangkitan penularan tempatan pada Ahad, menjadikan jumlah jangkitan COVID-19 di negara itu kepada 59,308 kes.
Kementerian menyatakan bahawa kesemua 48 kes import itu dikenakan notis duduk di rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.
Tiada kluster baharu dilaporkan pada Ahad, menjadikan jumlah kluster kekal kepada enam.
COVID-19: Lapan kluster baharu dikenal pasti, tiga diisytihar tamat hari ini