420 kg daun ketum dan air ketum dirampas
Padang Besar: Sebanyak 420 kilogram (kg) daun ketum, bersama air ketum serta ubat batuk dirampas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Padang Besar.
Ia susulan penahanan lelaki tempatan yang menjadikan rumahnya di Padang Besar sebagai pusat transit penyimpanan bahan terlarang berkenaan.
Dalam operasi 2.20 petang itu, suspek berusia 20-an itu ditahan di kediamannya di Kampung Padang Mawar, Kok Mak, di sini.
Komander AKSEM negeri, Deputi Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, penahanan suspek berdasarkan risikan yang dijalankan anggotanya selama seminggu.
“Kami melihat suspek berulang alik dari kereta Honda City berwarna putih miliknya memasuki rumahnya sambil membawa beberapa bungkusan plastik besar berwarna hitam di mana kita percaya mengandungi daun ketum dianggarkan seberat 120 kg yang diletakkan dalam but kereta berkenaan.
“Ketika diserbu, suspek gagal melarikan diri dan kami kemudian memasuki kediamannya pula untuk pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan selanjutnya menemukan 300 kg daun ketum, 214 bungkusan air ketum yang diletakkan dalam sebuah peti plastik dan 217 botol ubat batuk,” katanya kepada media di Pejabat AKSEM Padang Besar, di sini semalam.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, daun ketum itu adalah untuk diseludup ke Thailand, manakala air ketum serta ubat batuk itu pula dipercayai adalah untuk pasaran tempatan.
Beliau berkata, rampasan kesemua barangan termasuk kereta suspek berkenaan dianggarkan bernilai RM90,720.
Kesemua rampasan serta suspek kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 di mana sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.
Polis Langkawi gagalkan cubaan seludup masuk dadah, ubat batuk