AS tempah 200 juta lagi vaksin COVID-19
27/01/2021 10:57 AM
WASHINGTON, 27 Jan — Amerika Syarikat (AS) menempah 200 juta lagi dos vaksin COVID-19 bagi memastikan 300 juta rakyatnya akan menerima suntikan menjelang akhir musim panas, umum pentadbiran Presiden Joe Biden pada Selasa.
Andai matlamat itu dicapai, bermakna hampir keseluruhan populasi AS iaitu seramai 330 juta orang akan menerima suntikan, lapor Agensi Anadolu.
Tempahan itu masing-masing terdiri sebanyak 100 juta dos vaksin Moderna dan Pfizer-BioNTech, kenaikan 50 peratus bekalan yang sebelum ini berjumlah 400 juta dos, kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.
Pentadbiran Biden berusaha meningkatkan penghantaran vaksin ke seluruh negeri dan wilayah dari 8.6 juta dos seminggu kepada sekurang-kurangnya 10 juta atau sekitar 16 peratus. Rumah Putih komited untuk memastikan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga minggu lagi.
Terdapat kekurangan bekalan vaksin termasuk di California, Hawaii, Maryland, New York dan Virginia Barat.
Kekurangan bekalan dapat diatasi jika FDA memberikan kebenaran penggunaan kecemasan untuk vaksin keluaran Johnson and Johnson. Perkara itu mungkin dijangka selesai dalam beberapa minggu lagi apabila syarikat berkenaan mengemukakan permohonan selepas percubaan klinikal fasa tiga berakhir.
Syarikat itu dijangka mengumumkan keputusan percubaan minggu depan.