“KENA BIJAK, JAGA ADAB… TERUTAMA ‘LIVE'” – AZLEE ULAS ISU LAWAK BERBAUR LUCAH
“Hendak jadi pelawak kena bijak, jaga adab dan tata susila. Sebelum melontarkan dialog, kena fikir dahulu terutama jika membabitkan program siaran langsung.
“Jika program itu dirakam, tidak mengapa, boleh disunting. Jadi, pelawak kena berhati-hati ketika ‘live’,” demikianlah kata Azlee dari kumpulan Senario yang berpendapat kecenderungan memasukkan elemen lucah dalam jenaka dipraktikkan segelintir pelawak, wajar dikikis
Menurut Azlee, pelawak perlu bijak melemparkan dialog dan menjaga tata susila agar tidak mengundang implikasi buruk. Berkongsi tip, Azlee memberitahu, pelawak perlu mengambil kira aksi di pentas, ditonton semua lapisan masyarakat.
Azlee mengulas laporan khas HIP Isnin lalu, mengenai kecenderungan pelawak memasukkan elemen ‘dalam kain’ atau berbaur lucah dalam persembahan sehingga membimbangkan penonton terutama ibu bapa beranak kecil.
“Daripada ibu bapa sehinggalah anak-anak… Kita risau apa yang diperkatakan di pentas, menjadi ikutan anak-anak. Jadi, pelawak kena elak menggunakan jenaka berunsur lucah.
“Kita kena tahu had dan sensitiviti. Usah fikir unsur lucah sahaja yang boleh membuatkan penonton ketawa, sedangkan, kita ada banyak idea lain,” ujarnya.
Dalam masa sama, Azlee turut berkata, pelawak perlu lebih berhati-hati terutama pada zaman media sosial di mana netizen pantas menghakimi artis.
Klik untuk gambar besar
“Pada era Senario dahulu, tiada YouTube yang boleh diulang tayang video dan laman sosial pula tidak sehebat zaman sekarang. Jadi, pelawak perlu lebih berhati-hati untuk mengelak daripada dikecam netizen.
“Kalau terfikir lawak lucah, lebih baik jangan lontarkan. Nanti netizen akan cakap pelawak merapu dan kehabisan idea. Jika hendak menggunakan unsur lucah sebagai ‘senjata’ lawak, tidak payahlah,” jelasnya.
Berhubung tugas sebagai pelawak, Azlee mengaku bahawa ia bukannya mudah, namun soal profesionalisme perlu diambilkira: “Mungkin lawak kita penonton faham, namun, ada juga audiens yang tafsir dari sudut lain,” katanya.
Bertanya mengenai pengalaman bersama Senario selama lebih dua dekad, Azlee mengaku Senario tidak pernah dilanda kontroversi lawak lucah.
“Senario adalah kumpulan pelawak yang sinonim dengan jenaka spontan. Kami sentiasa mengelak daripada memaparkan lawak berunsur lucah. Semua anggota Senario iaitu saya, Lan, Wahid, Apek dan lain-lain dianggap ‘gila-gila’. Tetapi kami tidak sambil lewa menggunakan jenaka lucah untuk menghiburkan penonton,” tuturnya.
Akhir kata, Azlee menjelaskan, jenaka yang dipaparkan Senario tersirat maksud atau mesej tersendiri. Tambah Azlee, sitkom Senario dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu boleh dicontohi pelawak generasi baharu.
“Contohnya, bahaya lumba haram. Sebagai pelawak, kerja kita bukan menghiburkan sahaja, sebaliknya, menyampaikan mesej berguna. Cuba fikir mengapa Senario dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu boleh bertahan lama? Kita tidak mahu hanya disebabkan seorang pelawak, semua artis komedi kena tempias ibarat ‘angkara nila setitik, habis susu sebelanga,” ujarnya.
BILA CIK B JADI PELAWAK PULA, SELEPAS BERGELAR PELAKON & PENYANYI