Piala AFC 2021: Aidil Sharin akui sentimental bertemu Lion City Sailors


Aidil Sharin Sahak

27/01/2021 07:59 PM

ALOR SETAR, 27 Jan — Berdepan pasukan yang pernah dibimbingnya suatu ketika dulu dalam saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) 2021 menimbulkan perasaan sentimental buat ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak.

Naib juara Liga Super 2020 itu diundi dalam kumpulan H bersama wakil dari Singapura Lion City Sailors (LCS) dan wakil Vietnam Saigon FC serta pemenang perlawanan play-off.



Pengendali kelahiran Singapura itu berkata peluang menentang pasukan bimbingannya pada 2016 hingga 2018 itu pasti memberi pengalaman berbeza berbanding berdepan pasukan lain.

“Berjumpa dengan LCS membuatkan saya rasa sangat berbeza berbanding pertemuan dengan pasukan negara lain memandangkan LCS adalah pasukan dari negara kelahiran saya, dan saya pernah membimbing mereka.

“Saya kenal hampir 80 peratus pemain LCS dan kebanyakan mereka pernah bermain untuk saya dan saya tahu kekuatan serta kelemahan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

LCS yang dahulunya dikenali dengan nama Home United adalah kelab pertama dilatih Aidil Sharin sebelum berhijrah ke Kedah pada 2018.



Mengulas mengenai kemampuan LCS, Aidil Sharin berkata wakil dari seberang tambak itu cukup berbeza berbanding sebelum ini apabila sanggup berbelanja besar mendapatkan pemain import bagi memperkuat pasukan.

“Mereka memiliki kekuatan kewangan dan beli pemain dari Brazil yang beraksi dalam Liga Portugal dengan harga SGD3 juta (RM9.15 juta). Ia menunjukkan mereka sangat serius dan mempunya azam yang tinggi untuk menang dalam perlawanan,” katanya.

Namun, Aidil Sharin menaruh harapan tinggi terhadap pemain KDA FC yang diyakini mampu memberikan saingan sengit kepada mana-mana pasukan sama ada dalam aksi Piala AFC mahupun Liga Malaysia (Liga-M).

Aidil Sharin kekal bersama Kedah



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button