Geng samun, ragut di 4 negeri tumpas

Oleh – Syeikh Baran


Geng samun, ragut di 4 negeri tumpas
Habibi menunjukkan barangan yang dirampas dalam dua serbuan di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Seramai lapan individu termasuk tiga wanita ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti samun dan ragut orang awam di tempat tumpuan pelancong melibatkan empat negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Datuk Habibi Majinji berkata, salah seorang suspek wanita yang merupakan pembeli barang kes jenayah (emas) telah dibebaskan dengan jaminan.



Katanya, aktiviti berkenaan didedahkan sejurus pihaknya menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan di sebuah rumah tumpangan di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan, pada 28 Mac.

“Pada 29 April lalu, kita tahan tiga lelaki dan dua wanita tempatan (teman wanita suspek) sekitar ibu negara. Hasil soal siasat mendapati mereka telah bergiat aktif sejak awal tahun ini dan telah melakukan aktiviti ragut dan samun sebanyak 40 kes dan lima lagi kes curi motosikal.

“Kesemua suspek dianggarkan berusia 30an manakala lima daripadanya termasuk dua wanita didapati positif dadah.

“Hasil tangkapan ini kita percaya telah menyelesaikan sebanyak 45 kes yang membabitkan empat negeri iaitu Selangor (21 kes), Negeri Sembilan (6 kes) dan Melaka (8 kes),” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.



Jelasnya, pasukannya telah merampas 10 buah motosikal dan lima daripadanya dilaporkan hilang sebelum ini.

Jelasnya, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menyasarkan orang awam termasuk para pelancong di hujung minggu di tempat tumpuan pelancongan sekitar ibu negara.

“Tiga lelaki itu adalah ‘Mastermind’ untuk menjalankan ‘operasi’ ragut pada waktu siang terutamanya di hujung minggu.

“Ada kes yang mencederakan mangsa, ketika samun ada guna senjata iaitu pisau.



“Salah seorang daripada mereka baru sahaja keluar dari penjara Disember tahun lalu,” kongsinya.

Mengulas lanjut, Habibi berkata, wanita itu dibebaskan pihak polis dan akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan manakala suspek yang lain direman sehingga esok mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan seterusnya dihadapkan ke mahkamah esok bagi 18 kes di Kuala Lumpur.

“Sebanyak 45 kes melibatkan Kuala Lumpur (18 kes), Negeri Sembilan (4 kes) dan Melaka (6 kes) berjaya diselesaikan dan telah mendapat arahan pertuduhan dari Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Wanita yang dibebaskan dengan jaminan akan dijadikan saksi pendakwaan di mahkamah esok,” jelasnya.



Sumber – KOSMO! ONLINE.


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading