ELISYA SANDHA SELAMAT BERTUNANG DENGAN ANAK SHEILA RUSLY, UZAIR HAQIMY
“Ya betul Elisya sudah bertunang dengan Uzair. Majlis pertunangan mereka juga berjalan dengan lancar pada petang tadi (Ahad). Alhamdulillah… Insya-Allah mereka akan nikah tidak lama lagi,” demikianlah kata penerbit dan pelakon, Sheila Rusly yang mengesahkan anak sulungnya, Uzair Haqimy, 25, telah selamat mengikat tali pertunangan dengan Elisya Sandha, 21.
Majlis pertunangan pasangan ini diadakan secara sederhana dan tertutup petang Ahad di kediaman kakak Elisya yang juga pelakon terkenal iaitu Fasha Sandha, dengan kehadiran kira-kira 15 tetamu.
Sheila ketika dihubungi meluahkan rasa syukur segala perancangan berjalan dengan lancar dan pasangan itu bakal dinikahkan dalam masa terdekat. Sheila turut mengakui rasa gembira dengan ikatan pertunangan melibatkan pasangan sama cantik sama padan itu.
“Mereka sudah lama berkawan sejak Elisya tamat belajar lagi. Cuma, hubungan tidaklah begitu serius seperti hari ini. Sebagai ibu, sudah tentu saya gembira dengan keputusan ini. Mereka berasakan sudah bersedia melangkah ke fasa seterusnya. Majlis merisik, hantar tanda dan bertunang diadakan petang tadi. Mengikut perjanjian, mereka akan disatukan awal tahun depan,” katanya.
Sheila juga menjelaskan, keputusan melangsungkan majlis pertunangan sudah dirancang awal. Berkongsi pilihan hati anaknya itu, Sheila menyakini bintang drama ‘Misteri Mona’ itu mampu membahagiakan anak lelakinya itu.
“Apabila Uzair atau Haq dan Elisya sudah bersedia, pihak lelaki kenalah mulakan langkah. Perancangan bertunang pada Januari sudah diputuskan lebih awal. Ini kerana kami kena fokus untuk menyambung kerja penggambaran yang tertangguh selepas ini. Apabila bertunang, ia akan memudahkan lagi urusan kami membuat persediaan seperti mencari lokasi dan persiapan lain.
“Dia sangat memahami Haq, manakala Haq pula pernah berkata yang jika ingin berkahwin, bakal isterinya mestilah Elisya. Pada awalnya, saya sangka ia hanyalah perbualan biasa. Namun, saya anggap ia adalah perkara yang serius apabila Haq sebut perkara ini berulang kali. Mereka saling melengkapi dan saling memahami antara satu sama lain,” ujarnya.
Pada majlis itu, selain sebentuk cincin tanda, pihak lelaki turut menyerahkan tiga dulang hantaran berbalas lima. Hari bahagia Haq dan Elisya turut dikongsi Sheila, suaminya, Azman Yahya atau Jinggo dan ibu Elisya, Hatijah Teh Man di akaun media sosial masing-masing.
Melihat pada ruangan komen di perkongsian tersebut, ia telah dihujani dengan ucapan tahniah daripada peminat yang teruja melihat mereka akan menerima kehadiran menantu sulung dalam keluarga tidak lama lagi.
Sebelum ini, Elisya pernah dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan Uzair namun dia menafikan dakwaan tersebut dan mengatakan mereka hanya sekadar kawan baik sahaja.
Sekitar 2018, hubungan pelakon drama Misteri Mona itu dengan Uzair dikhabarkan sudah berakhir namun sejak tahun lalu, mereka dilihat kembali menjalinkan hubungan rapat.
Berhenti bukan sebab merajuk – Sheila Rusly