Badminton: BAM bedah siasat kegagalan di Bangkok


Tan Sri Mohamad Norza Zakaria

02/02/2021 04:34 PM

KUALA LUMPUR, 2 Feb — Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menjalankan bedah siasat bagi mengenal pasti faktor utama skuad negara mempamerkan aksi hambar pada tiga kejohanan di Bangkok, Thailand yang berakhir baru-baru ini.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, beliau memandang serius kegagalan barisan pemain negara, terutamanya pemain senior untuk menghadirkan keputusan yang baik pada tiga kejohanan berkenaan.



Kejohanan tersebut adalah Terbuka Thailand Yonex dari 12-17 Jan, Terbuka Thailand Toyota (19-24 Jan) serta pusingan akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2020 dari 27 hingga 31 Jan lepas di Impact Arena, Bangkok.

“Kalau kita lihat pemain-pemain muda kita (seperti) Lee Zii Jia, Aaron Soh, (Nur) Izzudin (Mohd Rumsani), Goh Sze Fei, S. Kisona, saya rasa kita kena bercakap tentang prestasi yang tidak konsisten, itu satu,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Kedua, kita lihat pemain kita di peringkat senior, dengan pelbagai kemudahan diberikan, mereka masih lagi, berada di takuk lama,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza mengakui perubahan drastik bakal dilakukan oleh badan induk itu sekiranya barisan pemain negara sedia ada masih gagal menampilkan peningkatan dalam persembahan masing-masing selepas ini.



Gandingan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menampilkan aksi membanggakan selepas muncul naib juara Terbuka Thailand Toyota setelah tewas 13-21 dan 18-21 kepada beregu ranking ketujuh dunia, Lee Yang dan Wang Chi-Lin dari Taiwan pada aksi final.

Beregu campuran negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai mempamerkan aksi mengecewakan setelah tewas pada pusingan awal kedua-dua kejohanan berkenaan, namun bangkit mara sehingga ke separuh akhir pusingan akhir Jelajah Dunia BWF 2020.

Shalin, Nicol, Pandelela kongsi kejayaan dan kegagalan dalam karier



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button