COVID-19: Sabah benar atlet sukan prestasi tinggi berlatih semasa PKP
02/02/2021 09:58 PM
KOTA KINABALU, 2 Feb — Kerajaan Negeri Sabah bersetuju membenarkan latihan sukan yang ‘berasaskan kuarantin’ semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi atlet sukan prestasi tinggi negeri itu sebagai persediaan menghadapi kejohanan antarabangsa.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun, yang juga jurucakap rasmi COVID-19 negeri, berkata kebenaran itu akan bermula esok mengikut prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah serta pihak berkuasa lain.
“Atlet Sabah yang dibenarkan adalah yang terlibat dengan Sukan Malaysia (Sukma), Para Sukma, Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) dan atlet negara di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN).
“Atlet negara yang berlatih di Sabah hendaklah mempunyai surat lantikan dan latihan berpusat atlet yang sedia ada di bawah MSN Sabah,” katanya pada sidang media harian COVID-19 Sabah di sini hari ini.
Beliau berkata untuk tujuan itu, operator kompleks atau pusat sukan perlu memuat turun aplikasi MySejahtera untuk pendaftaran atlet bagi pengesanan kontak rapat.
“Operator kompleks atau pusat latihan juga wajib menyediakan pensanitasi tangan dan pengimbas suhu di setiap pintu masuk premis,” katanya.
Masidi juga berkata menurut Jabatan Tenaga Kerja Sabah, hanya 659 daripada 8,369 majikan melaksanakan program ujian saringan COVID-19 ke atas pekerja asing mereka sehingga hari ini.
“Sejak Program Ujian Saringan COVID-19 dikuatkuasakan mulai 11 Jan kepada semua majikan yang menggaji pekerja asing, sejumlah 26,516 daripada 118,376 pekerja asing yang mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menjalani ujian saringan itu,” katanya.