Populariti Perikatan Nasional Merudum Teruk
Perutusan PM Jadi Medan Netizen Lepaskan Kekecewaan
Populariti Perikatan Nasional kini semakin merudum teruk di kalangan rakyat Malaysia selepas perutusan kali ke-38 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam.
Belum setahun memegang tampuk kerajaan, Perikatan Nasional dijangkakan berdepan dengan krisis kepercayaan rakyat. Pandemik covid19 dikatakan hanyalah faktor sampingan kepada permasalahan.
Rakyat yang semakin tertekan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) darurat, menuding jari kepada peraturan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak konsisten membuat keputusan.
Ekonomi Terjejas
Banyak sektor ekonomi yang ditutup hingga menjejaskan pendapatan rakyat ditambah kekeliruan peraturan yang dikenakan terhadap mereka menambah lagi rasa tidak puashati kepada kerajaan.
Kemarahan rakyat dizahirkan dalam siaran strim langsung perutusan PM. Rungutan demi rungutan malah ada komen berbaur lucah turut dapat dibaca dalam ruangan komen strim langsung portal tv.
Ini menunjukkan populariti Perikatan Nasional sudah semakin pudar dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Muhyiddin semakin pudar.
Lawatan Kerja
Mereka turut mempersoalkan kewajaran Muhyiddin membuat lawatan kerja ke luar negara ketika larangan rentas daerah, negeri dan negara dikenakan kepada rakyat. Malah ada juga komen mengkritik tindakan dan mempersoalkan kewajaran Muhyiddin membuat lawatan sedangkan teknologi bersemuka secara maya boleh dilakukan.
Walaupun Wisma Putra menjelaskan lawatan berkenaan berlangsung kurang 24 jam, netizen enggan menerima pencerahan Wisma Putra. Bagi mereka tindakan PM merupakan “double standard” terhadap rakyat Malaysia. Rakyat dikenakan sekatan tetapi ahli politik pula sebaliknya.
Rakyat Bosan
Sungguhpun operasi J-Kom sudah bermula, segala propaganda serta usaha mereka dipandang sepi rakyat. Walau menggunakan pelbagai poster dan ‘ungkapan puitis’ bagi menggambarkan keprihatinan PN kepada rakyat, ia seakan sudah terlewat.
Rakyat yang bosan dengan PKP 2.0 dan SOP mengelirukan semakin lantang bersuara di media sosial. Isu i-Sinar KWSP mengecewakan ramai rakyat yang terdesak memerlukan wang tunai.
Hutang tertunggak, sewa rumah, bayaran ansuran kenderaan serta keperluan harian memerlukan aliran tunai di tangan rakyat namun ramai yang kecewa gagal kerana syarat yang dikenakan mengekang pengeluaran wang mereka. Belum lagi menyentuh isu moratorium yang membelenggu rakyat.
Ulangan
Rakyat melihat perutusan PM kali ini hanyalah sekadar mengulangi 37 perutusan sebelum ini cuma penambahbaikan kali ini tindakan undang-undang terhadap mereka yang engkar pematuhan SOP PKP 2.0 (darurat).
Persoalannya sekarang, mampukah Perikatan Nasional kekal sekiranya jumlah kes harian covid19 berjaya dilandaikan dan pembubaran parlimen dilakukan dalam masa terdekat? Perkara ini akan menarik perhatian banyak pihak terutama pelabur asing yang mahu sebuah kerajaan yang benar-benar stabil sebelum membuat keputusan melabur di Malaysia.
Mampukah PN berdaya saing dalam PRU15 dan membentuk sebuah kerajaan ‘solid’ sekaligus memberi keyakinan perkembangan ekonomi negara kembali stabil?
Perutusan khas PM 6 petang ini